Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Wanita bandar dan luar bandar berhak terima akses sokongan dan bantuan yang sama : Julita

ALBUM: Julita (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama para tetamu kehormat selepas merasmikan majlis itu.

KOTA KINABALU: Wanita di seluruh Sabah, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, digalakkan untuk berhubung dengan Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR) bagi mendapatkan sokongan serta bantuan berkaitan pelbagai isu yang dihadapi.

Menterinya, Julita Majungki, berkata kementerian itu sentiasa terbuka untuk membantu wanita yang memerlukan panduan, khidmat nasihat atau sokongan dalam menangani cabaran kehidupan.

Menurut beliau, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) yang berada di bawah kementerian berkenaan memainkan peranan penting dalam mengendalikan hal ehwal wanita serta melaksanakan pelbagai program pemerkasaan wanita di negeri ini.

“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu termasuk program pembangunan kepimpinan, keusahawanan serta kesejahteraan keluarga bagi memperkukuh peranan wanita dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis jamuan makan malam sempena Hari Wanita Sedunia yang dianjurkan Bahagian Wanita Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) di sini pada Ahad.

Julita berkata JHEWA turut menyediakan pelbagai bentuk perkhidmatan sokongan kepada wanita, termasuk bantuan guaman secara percuma kepada mereka yang menghadapi masalah keluarga tetapi tidak mampu mendapatkan khidmat perundangan.

“Wanita di bandar mahupun di luar bandar seharusnya mempunyai akses yang sama kepada sokongan dan bantuan.

“Sekiranya terdapat isu atau perkara yang ingin dibangkitkan kepada kerajaan negeri, mereka amat dialu-alukan untuk berhubung dengan kementerian atau jabatan berkaitan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa kementerian yang diterajuinya tidak terhad kepada mana-mana kelompok masyarakat sahaja, sebaliknya berkhidmat untuk seluruh rakyat Sabah.

Menurutnya, kementerian berkenaan telah lama diwujudkan, namun pada penggal pentadbiran ini kerajaan negeri memutuskan untuk menamakan semula kementerian itu sebagai Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat bagi mencerminkan dengan lebih jelas skop tanggungjawab serta fokusnya.

“Dan kementerian ini bukan hanya untuk satu kelompok masyarakat sahaja. Ia adalah kementerian untuk seluruh rakyat Sabah dan kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin berhubung dengan kami berkaitan hal ehwal wanita, kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata KWKKR kini menyelia tiga bidang utama iaitu wanita, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, yang masing-masing memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan masyarakat terus terpelihara.

Dalam pada itu, Julita berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan pertubuhan masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta bagi memastikan agenda memperkasa wanita dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan menyeluruh.

Exit mobile version