KOTA KINABALU:Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman bersama isteri, Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin, serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag menghadiri Majlis Berbuka Puasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini pada Rabu.
Ketua Menteri dan isteri tiba pada jam 5.27 petang sebelum disusuli ketibaan Yang di-Pertua Negeri dan Toh Puan.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran serta Surah Al-Kahfi sebelum diteruskan dengan penyampaian sumbangan daripada Pusat Zakat Sabah kepada golongan mualaf, balu serta anak yatim dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah.
Program kemudian diteruskan dengan penyampaian cenderamata kenangan, tazkirah Ramadan serta majlis berbuka puasa bersama.
Selepas berbuka, para tetamu menunaikan solat Maghrib sebelum diteruskan dengan solat Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah di Surau Fisabilillah, IPD Kota Kinabalu.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim M. Yahya; Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Rubin Balang; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun serta Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rani Alias bersama isteri masing-masing.
Majlis tersebut berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah dan kesyukuran sempena bulan Ramadan.
