Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Tuntutan 40 peratus wajar dipacu melalui saluran rasmi

Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah

KOTA KINABALU: Tuntutan 40 peratus hasil Sabah wajar terus dipacu melalui saluran rasmi bagi memastikan proses rundingan berjalan lancar tanpa menjejaskan keharmonian hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah, berkata tuntutan berkenaan telah mendapat jaminan Perdana Menteri untuk dilaksanakan, selain komitmen Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang berusaha memastikan hak itu direalisasikan.

Beliau berkata kesungguhan kerajaan negeri dalam memperjuangkan tuntutan tersebut tidak boleh dipertikaikan, memandangkan kejayaannya mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan Sabah.

“Ketua Menteri sedar bahawa jika tuntutan ini berjaya direalisasikan, Sabah berpotensi menjadi negeri yang lebih maju dan makmur selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Aksyah berkata terdapat pihak tertentu yang mengambil pendekatan ‘gerakan solo’ dengan mendesak Kerajaan Persekutuan menyegerakan penyelesaian tuntutan itu, termasuk cadangan agar wakil rakyat Sabah menyumbang dana.

Bagaimanapun, beliau berpandangan langkah tersebut tidak wajar kerana usaha kerajaan negeri ketika ini telah berada di landasan yang tepat serta dilaksanakan secara tersusun.

“Apa yang dilakukan oleh Kerajaan Sabah ketika ini sudah cukup baik, teratur dan membantu melancarkan proses rundingan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan untuk mengekalkan suasana perbincangan yang harmoni tanpa gangguan tindakan yang boleh menjejaskan proses rundingan.

“Adalah lebih baik kita mengekalkan iklim perbincangan yang positif berbanding membuat desakan yang boleh menyukarkan proses serta menggugat hubungan sedia ada,” katanya.

Aksyah turut mengingatkan agar tiada pihak cuba bertindak melangkaui proses sedia ada sehingga menjejaskan usaha yang sedang dilaksanakan.

“Saya bimbang jika ada pihak cuba bertindak di luar saluran yang sewajarnya, ia boleh menjejaskan usaha rundingan yang sedang berjalan,” katanya.

Beliau yakin dengan jaminan Perdana Menteri serta komitmen Ketua Menteri, tuntutan 40 peratus itu mampu direalisasikan demi masa depan Sabah.

“Saya percaya tuntutan ini akan menjadi realiti jika terus dilaksanakan melalui saluran rasmi,” katanya.

Exit mobile version