KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Muhammad Raiyan Fung Abdullah, mengumumkan keluar daripada parti itu selepas melepaskan semua jawatan yang disandang, berkuat kuasa 26 Julai.
Raiyan yang sebelum ini turut memegang jawatan Setiausaha Bahagian STAR N.69 Sri Tanjong berkata, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan sewajarnya atas faktor peribadi dan demi kepentingan masa depannya.
Dalam kenyataan ringkas, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, barisan kepimpinan serta seluruh ahli parti atas peluang, kepercayaan dan sokongan yang diberikan sepanjang beliau berkhidmat.
Beliau pada masa sama mendoakan agar STAR terus maju dalam memperjuangkan aspirasi rakyat.
Perkembangan itu menjadikan Raiyan antara beberapa pemimpin dan ahli STAR yang mengumumkan peletakan jawatan serta meninggalkan parti berkenaan sepanjang tahun ini.

