Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Tiga dekad dalam politik Sabah , Karim Bujang meninggal dunia

DATUK K: Allahyarham yang mesra dikenali sebagai "Datuk K" mempunyai pengalaman lebih dua dekad sebagai wakil rakyat Bongawan dan pernah memegang beberapa tanggungjawab dalam pentadbiran negeri.

KOTA KINABALU:Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Karim Bujang, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sipanggil, Putatan, tengah hari tadi.

Allahyarham yang berusia 73 tahun merupakan antara tokoh politik veteran Sabah dan pernah berkhidmat sebagai ADUN Bongawan selama lima penggal, dari 1990 hingga 2013.

Pemergian beliau disahkan bekas ADUN Pantai Manis, Datuk Aidi Moktar, yang memaklumkan Allahyarham kembali ke rahmatullah di kediamannya di Kampung Sipanggil.

Allahyarham yang mesra dikenali sebagai “Datuk K” berasal dari Kampung Brunei, Kimanis dan mempunyai pengalaman panjang dalam arena politik Sabah.

Beliau mula mewakili Bongawan selepas memenangi kerusi berkenaan pada 1990 atas tiket Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), sebelum menyertai UMNO dan terus mempertahankan kerusi berkenaan sehingga pilihan raya 2008.

Sepanjang penglibatannya dalam pentadbiran negeri, Allahyarham pernah dilantik sebagai Pembantu Menteri dalam Kabinet Negeri Sabah, termasuk memegang portfolio berkaitan pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar.

Selepas tidak dicalonkan semula bagi kerusi Bongawan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013, Karim kemudian menyertai Parti Warisan dan bertanding bagi kerusi Parlimen Kimanis pada PRU14 tahun 2018.

Beliau tewas tipis dengan majoriti 156 undi kepada Datuk Seri Anifah Aman, sebelum kembali bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Januari 2020.

Dalam perkembangan politik terakhirnya, Karim meninggalkan Warisan dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Mac 2024 dengan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden parti, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Pemergian Allahyarham mendapat perhatian pemimpin dan rakan politik yang menyampaikan ucapan takziah serta mengenang khidmat dan sumbangannya sepanjang berkecimpung dalam politik Sabah.

Exit mobile version