KOTA KINABALU: Semua pihak diseru memberi ruang kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk menangani isu tuntutan 40 peratus hasil negeri secara berhemah serta berlandaskan proses perundangan yang sedang berjalan.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik berkata, pihaknya menzahirkan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Hajiji Noor bersama barisan Kabinet Negeri serta kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam memuktamadkan perkara berkenaan secara bijaksana, tegas dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan arahan pembayaran 40 peratus itu perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses perundangan yang masih berlangsung.
“Keputusan tersebut bersifat prosedural dan tidak seharusnya disalah tafsir, sebaliknya perlu difahami dalam konteks undang-undang yang memberi ruang kepada tindakan lanjut serta rundingan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan semua pihak perlu bersikap matang dengan memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk meneruskan rundingan dan langkah susulan secara teratur melalui saluran sah.
Yazid berkata, keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan negeri wajar terus diperkukuh, khususnya dalam usaha mempertahankan hak Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, aspirasi rakyat yang mahukan penyelesaian adil dan berkekalan terhadap isu tersebut perlu dijadikan keutamaan dalam setiap rundingan dan keputusan.
“Kita berdiri bersama kepimpinan negeri dalam memastikan hak Sabah terus diperjuangkan, maruah negeri dipertahankan dan masa depan rakyat sentiasa terbela,” katanya.
Beliau turut berharap semua pihak dapat mengelakkan polemik yang boleh menjejaskan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperjuangkan hak Sabah di peringkat Persekutuan.
“Tindakan berhemah dan berpandukan undang-undang adalah kunci untuk mencapai penyelesaian terbaik demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri,” tegasnya.

