Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Tambunan perlukan nafas baharu, bukan janji lama kata Calon GRS

CALON: Victor ketika menerima watikah daripada Hajiji selepas diumumkan sebagai calon GRS kerusi DUN Tambunan pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Datuk Victor P. Paut, menyatakan keyakinan bahawa beliau mampu menewaskan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, dalam Pilihan Raya Umum DUN Sabah ke-17 (PRU17 Sabah).

Anak jati Kampung Lintuhun, Tambunan, berusia 60 tahun itu berkata, keyakinannya berpaksikan kerja keras dan hubungan erat yang telah beliau bina bersama rakyat sejak tiga tahun lalu.

“Saya berterima kasih kepada Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, atas kepercayaan mencalonkan saya di Tambunan. Saya menyeru semua pengundi agar menyokong calon GRS supaya kesinambungan pembangunan di daerah ini dapat diteruskan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon GRS di sini.

Victor berkata, beliau tidak bergantung pada strategi politik yang luar biasa, sebaliknya mengutamakan kerja keras dan pendekatan mesra rakyat yang telah diterapkan sejak sekian lama.

“Tidak ada rahsia, cuma kerja keras dan komitmen untuk mendekati rakyat di akar umbi. Kita mahu bawa perubahan sebenar yang rakyat boleh rasa, bukan sekadar janji,” katanya.

Calon GRS DUN Tambunan, Datuk Victor P. Paut, yakin kerja keras dan sokongan rakyat menjadi kunci kemenangan dalam PRU17 Sabah.

Sebagai ahli perniagaan berpengalaman dan figura tempatan yang dikenali ramai, beliau melihat Tambunan berpotensi besar untuk dimajukan semula melalui dasar pembangunan seimbang yang berpaksikan ekonomi, sosial dan komuniti luar bandar.

Victor berkata, sekiranya diberikan mandat, beliau akan memberi tumpuan kepada dua sektor utama iaitu pertanian moden dan pelancongan, yang mampu menjadi pemangkin ekonomi daerah Tambunan.

“Tambunan mempunyai sejarah, keindahan alam semula jadi dan budaya yang kaya. Kita mahu memaksimumkan potensi ini melalui pertanian moden serta pelancongan yang terancang bagi menjana pendapatan penduduk,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan ekonomi setempat akan turut disokong oleh infrastruktur yang lebih baik serta penyertaan aktif belia dan wanita dalam kegiatan ekonomi.

Menurut Victor, suasana politik di Tambunan menunjukkan rakyat mahukan kepimpinan baharu yang lebih dinamik, progresif dan dekat dengan masyarakat.

“Majoriti penduduk Tambunan mahukan perubahan. Mereka ingin melihat kepimpinan baharu yang membawa kemajuan ekonomi dan pembangunan lebih seimbang,” jelasnya.

Beliau juga menegaskan bahawa Tambunan tidak boleh terus ketinggalan berbanding daerah lain di Sabah dan memerlukan pemimpin yang mempunyai visi jelas serta kemampuan untuk membawa perubahan nyata.

“Saya percaya dengan sokongan rakyat, GRS mampu menang di Tambunan. Kita akan buktikan bahawa kepimpinan baharu boleh membawa Tambunan ke arah masa depan yang lebih cerah,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version