SOOK:Program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Malaing menjadi wadah penting bagi penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Ellron Angin, untuk turun padang mendengar sendiri suara dan keperluan penduduk setempat.
Menurut Ellron, program seperti ini memberi peluang kepada pemimpin dan rakyat berinteraksi secara langsung, di samping menilai keberkesanan pelbagai projek pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Melalui kepimpinan GRS, pelbagai kemudahan telah dilaksanakan demi keselesaan rakyat. Antara yang telah siap termasuk pembinaan jalan konkrit, pelaksanaan Program Rumah SMJ, pembaikan jambatan gantung dan jambatan kereta, serta sumbangan Smart TV 65 inci kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Malaing,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Ellron menegaskan bahawa projek-projek tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan rakyat luar bandar, selaras dengan matlamat utama Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan infrastruktur asas.
“Inilah bukti nyata bahawa kerajaan GRS bukan sekadar menabur janji, tetapi menunaikannya. Kita mahu setiap rakyat, termasuk mereka di kawasan pedalaman seperti Sook, menikmati kemajuan secara seimbang,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif pembangunan luar bandar sedang dijalankan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat termasuk menaik taraf kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan, sistem bekalan air dan kemudahan pendidikan.
Dalam ucapannya, Ellron turut menyeru agar rakyat di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Malaing terus memberikan sokongan kepada kerajaan GRS demi menjamin kesinambungan pembangunan di kawasan berkenaan.
“Saya berharap warga Malaing akan terus bersama kerajaan GRS demi kestabilan, kemajuan dan masa depan yang lebih baik untuk rakyat Sook,” ujarnya.
— TAMAT

