KOTA KINABALU:Bekas Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Robert Tawik, menyeru semua ahli dan penyokong parti itu supaya terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, demi mengekalkan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan di negeri ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor itu menegaskan bahawa keutamaan kini adalah memastikan keamanan politik dan kemajuan yang telah dikecapi di bawah pentadbiran GRS dapat diteruskan.
“Kestabilan yang dinikmati lima tahun lalu membawa banyak kemajuan kepada Sabah. Rakyat tidak boleh mempertaruhkan masa depan negeri ini kepada ketidaktentuan baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Robert berkata, sebelum penubuhan GRS, Sabah sering berdepan suasana politik tidak menentu, namun situasi itu berjaya dipulihkan apabila parti-parti tempatan bersatu di bawah satu gabungan kukuh.
Beliau menjelaskan bahawa kestabilan yang diwujudkan di bawah kepimpinan Hajiji telah membolehkan kerajaan negeri melaksanakan dasar pembangunan menyeluruh melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) serta menarik pelaburan besar ke negeri ini.
“Kestabilan politik membolehkan kerajaan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat, bukan berpolitik sepanjang masa. Ini bukti kepimpinan Hajiji yang matang dan berjiwa rakyat,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa STAR ‘dibuang’ daripada GRS, Robert menjelaskan perkara itu tidak benar dan menegaskan keputusan keluar daripada gabungan berkenaan dibuat secara sukarela oleh kepimpinan parti tersebut.
“GRS tidak membuang STAR. Sebaliknya, STAR memilih untuk keluar dan bertanding secara solo. Namun, ramai ahli akar umbi STAR masih menyokong dasar-dasar kerajaan GRS kerana terbukti membawa manfaat kepada rakyat,” jelasnya.
Robert turut memuji keprihatinan kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan luar bandar, termasuk melalui pelaksanaan projek kecil luar bandar (MRR), bantuan pertanian, serta naik taraf jalan kampung, bekalan air dan elektrik.
“Di kawasan seperti Bingkor dan pedalaman Keningau, banyak projek infrastruktur berjaya dilaksanakan hasil kestabilan politik dan pengurusan kewangan berhemah kerajaan GRS,” katanya.
Beliau yakin rakyat Bingkor dan penyokong STAR yang cintakan kestabilan akan terus menyokong GRS demi masa depan Sabah yang lebih makmur dan terjamin.
“Saya percaya rakyat tahu menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk negeri ini. Sabah perlu terus maju di bawah kerajaan GRS dan kepimpinan Datuk Seri Hajiji,” katanya.
— TAMAT
