KOTA KINABALU: Pelantikan ahli politik sebagai Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah wajar dan kekal relevan dalam memastikan dasar serta hala tuju Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan secara berkesan, kata aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah.
Beliau berkata, kritikan pembangkang yang mempersoalkan pelantikan tokoh politik ke dalam GLC dengan alasan ia menjejaskan reformasi institusi merupakan naratif politik yang sempit dan tidak mencerminkan kefahaman terhadap struktur tadbir urus sebenar syarikat milik kerajaan.
Menurutnya, individu politik yang dilantik bukan sekadar mewakili kepentingan politik, sebaliknya berperanan sebagai sebahagian daripada penggubal dasar Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menterjemahkan hala tuju pentadbiran kepada pelaksanaan di peringkat organisasi.
“Dalam struktur GLC, Pengerusi berfungsi sebagai pemegang kepentingan (stakeholder) kepada barisan eksekutif yang mengurus operasi syarikat. Mereka memikul amanah untuk memastikan keputusan, dasar dan hala tuju kerajaan dapat disampaikan serta dilaksanakan dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aksyah berkata, kejayaan sebenar sesebuah GLC banyak bergantung kepada tahap kecekapan dan profesionalisme barisan eksekutif yang mengendalikan perniagaan dan operasi syarikat, sejajar dengan matlamat kerajaan memerintah.
Beliau menegaskan bahawa hubungan kerja yang kukuh antara pihak pemegang kepentingan dan pengurusan eksekutif merupakan kunci kepada keupayaan GLC menyumbang secara signifikan terhadap pembangunan ekonomi dan sosial negeri.
Mengulas lanjut, Aksyah merujuk perutusan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sempena Sambutan Tahun Baharu 2026 yang menegaskan bahawa tahun ini merupakan permulaan kepada pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).
“SMJ 2.0 bukan sekadar slogan, sebaliknya merupakan wawasan rakyat Sabah yang perlu difahami, dihayati dan diterjemahkan dalam budaya kerja setiap GLC agar organisasi terbabit dapat menyumbang secara bermakna kepada hala tuju pembangunan negeri,” katanya.
Sehubungan itu, Aksyah menegaskan bahawa pelantikan ahli politik sebagai peneraju GLC di Sabah kekal relevan bagi memastikan kesinambungan dasar, penyelarasan pentadbiran dan hala tuju pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Semoga hubungan kerja yang baik antara pemegang kepentingan dan barisan eksekutif di semua peringkat akan melahirkan nilai serta manfaat besar kepada negeri dan rakyat Sabah. Hala Tuju SMJ 2.0 adalah milik dan tanggungjawab kita bersama,” katanya.
–TAMAT

