KOTA KINABALU:Pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 kini berada di landasan kukuh, didorong usaha Kerajaan Negeri menstruktur semula ekonomi serta memperkukuh pengurusan sumber negeri.
Ketua Penerangan (Penaja) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah, berkata usaha itu dilaksanakan di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dengan memberi penekanan kepada pengurusan sumber secara lebih mandiri.
Menurutnya, penglibatan agensi milik negeri seperti SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) dalam sektor minyak dan gas membolehkan Sabah memperoleh pulangan yang boleh dimanfaatkan bagi pembangunan negeri, termasuk di kawasan luar bandar seperti Kinabatangan.
“Melalui ketegasan kepimpinan beliau, hasil bumi Sabah kini diuruskan secara lebih mandiri menerusi agensi seperti SMJ Energy yang berjaya membawa pulangan dividen tunai ratusan juta ringgit terus ke kantung negeri demi pembangunan rakyat di seluruh wilayah, termasuk di luar bandar seperti Kinabatangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Aksyah mengkritik pendekatan sesetengah pihak pembangkang yang menurutnya lebih memberi tumpuan kepada kelemahan kerajaan berbanding menilai kemajuan dan dasar yang sedang dilaksanakan.
Beliau menyifatkan pendekatan itu sebagai “politik mata lalat” — yang didakwanya cenderung membesar-besarkan kekurangan tertentu tanpa memberikan perhatian sewajarnya terhadap pencapaian pembangunan negeri.
Aksyah turut mengkritik penyebaran poster suntingan yang memaparkan replika patung menyerupai Ketua Menteri, yang disifatkannya sebagai tidak wajar dan tidak menyumbang kepada perbahasan politik yang matang.
“Jelas mereka sudah muflis idea untuk berdebat mengenai angka pelaburan, dasar struktur grid tenaga dan pengurusan hasil minyak dan gas. Kini mereka beralih kepada manipulasi siber yang dangkal,” katanya.
Menurut Aksyah, perbahasan politik seharusnya memberi tumpuan kepada dasar, prestasi pentadbiran serta penyelesaian terhadap isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri ketika ini terus memberi perhatian kepada cabaran asas termasuk bekalan air, infrastruktur jalan raya dan pembangunan ekonomi menerusi pelaksanaan SMJ 2.0.
Aksyah mendakwa sebahagian daripada cabaran berkenaan berpunca daripada isu pembangunan yang telah berlarutan sejak pentadbiran terdahulu, namun kerajaan semasa perlu terus memberi tumpuan kepada penyelesaiannya.
“Hajiji tidak terganggu sedikit pun. Beliau terus mengorak langkah kukuh untuk mencapai setiap inci dan sudut kemajuan yang telah digariskan di dalam Hala Tuju SMJ 2.0,” katanya.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa masyarakat Sabah semakin matang dalam menilai maklumat dan mampu membezakan antara perbahasan berasaskan dasar dengan kandungan berbentuk provokasi politik.
“Saya yakin rakyat Sabah hari ini bukan lagi golongan yang mudah diperbodohkan oleh poster provokasi murahan.
“Biarlah pembangkang terus hanyut dengan cara kerja kebudak-budakan mereka, manakala kepimpinan hari ini terus gigih memacu momentum SMJ 2.0 demi masa depan Sabah yang berdaulat dan dihormati,” katanya.

