TAWAU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap masalah telekomunikasi yang berlarutan di kawasan Batu Payung dan Tinagat di sini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian serius memandangkan ia menjejaskan kehidupan harian hampir 10,000 penduduk yang bergantung kepada capaian internet dan rangkaian telekomunikasi bagi urusan pendidikan, pekerjaan serta aktiviti ekonomi digital.
Menurut beliau, perkara itu dibangkitkan selepas beliau sendiri mengalami gangguan talian apabila panggilan telefon bimbitnya terputus secara tiba-tiba ketika melalui kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tinagat.
“Susulan kejadian itu, saya turun padang meninjau sendiri keadaan menara telekomunikasi di Kampung Tinagat Batu 9 selepas menerima pelbagai aduan daripada penduduk setempat.
“Saya hairan kerana menara ini sepatutnya mampu menyelesaikan masalah telekomunikasi di kawasan ini. Namun berdasarkan maklum balas penduduk, kemudahan itu dipercayai sudah lama tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya,” katanya ketika ditemui sempena Program Agihan Daging Korban di sini, pada Khamis.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, hasil tinjauan mendapati kawasan sekitar menara berkenaan berada dalam keadaan kurang terurus dengan laluan menuju ke lokasi dipenuhi semak samun, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap penyelenggaraan kemudahan tersebut.
Katanya, keadaan itu memberi kesan besar kepada penduduk sekitar yang memerlukan capaian internet stabil bagi urusan pembelajaran dalam talian, perniagaan digital dan komunikasi harian.
Beliau turut memaklumkan bahawa kawasan bersempadan dengan Indonesia itu sering berdepan masalah talian telefon yang bertukar secara automatik kepada rangkaian luar negara seperti Indosat dan Telkomsel, sekali gus menyukarkan pengguna tempatan.
“Perkara ini bukan sahaja menjejaskan komunikasi, malah boleh menyebabkan kos penggunaan meningkat serta mengganggu akses kepada perkhidmatan tempatan.
“Kita berharap SKMM dapat meneliti isu ini secara serius kerana menara yang dibina sepatutnya menjadi penyelesaian kepada masalah telekomunikasi yang dihadapi penduduk,” katanya.
Menurut beliau, menara telekomunikasi berkenaan difahamkan telah siap dibina kira-kira dua hingga tiga tahun lalu, namun masih gagal memberikan manfaat yang diharapkan masyarakat setempat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan tindakan segera perlu diambil bagi memastikan kemudahan telekomunikasi yang berkualiti dapat dinikmati penduduk luar bandar, selaras dengan agenda pendigitalan dan pembangunan ekonomi digital negeri.

