KOTA KINABALU:Program Singgah Sahur yang diadakan di Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) serta beberapa lokasi sekitar bandar raya ini berjaya menyantuni petugas kesihatan, anggota pasukan keselamatan dan golongan gelandangan sempena bulan Ramadan.
Program tersebut dianjurkan oleh Youth Power Club Kota Kinabalu dengan kerjasama Wanita, Pemuda dan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Likas sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan selain membantu golongan yang memerlukan.
Turut menyertai program berkenaan ialah Ketua Wanita PGRS Likas, Halizah Din; Ketua Pemuda PGRS Likas, Syamee Mohd Ron; Ketua Beliawanis PGRS Likas, Noor Azee Ashikeen Asngari serta Adem Firdaus Mohd Bahrin.

Melalui program tersebut, ketiga-tiga sayap parti bersama ahli Youth Power Club Kota Kinabalu telah mengagihkan juadah sahur kepada petugas kesihatan yang sedang bertugas di Hospital Queen Elizabeth 1, selain menyantuni anggota pasukan keselamatan di Balai Polis Kota Kinabalu dan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Sembulan.
Rombongan turut mengambil kesempatan mengagihkan juadah sahur kepada golongan gelandangan di sekitar bandar raya ini sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan.

Inisiatif itu mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang menekankan nilai ihsan, solidariti serta amalan kebajikan terhadap golongan kurang bernasib baik. Penganjur berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memperkukuh nilai kemanusiaan di samping memberi sokongan moral kepada petugas barisan hadapan dan masyarakat yang memerlukan.
