PUTATAN: Penduduk di kawasan Tanjung Keramat diseru bekerjasama erat dengan pihak berwajib dalam memastikan kebersihan kawasan perumahan dan kampung sentiasa terpelihara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, penjagaan kebersihan kawasan rumah, parit dan laman bukan sahaja penting dari aspek persekitaran, malah berperanan mencegah penularan penyakit termasuk wabak denggi.
Menurut beliau, usaha menjaga kebersihan tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkaitan seperti Majlis Daerah Putatan (MDPTN), sebaliknya memerlukan kerjasama aktif daripada masyarakat setempat.
“Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, masih terdapat parit di kawasan perumahan dan kampung yang berada dalam keadaan kotor serta berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk.
“Kita berharap pihak berwajib dan penduduk dapat bersama-sama meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan program walkabout di beberapa kawasan termasuk Kampung Sri Pandan, Pasir Putih, Taman Pasir Putih dan Taman Jumbo di sini, pada Selasa.
Shah Alfie berkata, program walkabout itu merupakan kesinambungan kepada tinjauan berkala yang dilaksanakan bagi meneliti isu berkaitan perparitan, infrastruktur, jalan raya serta kemudahan awam di kawasan terbabit.
Menurutnya, pihaknya turut meninjau keadaan pili bomba di beberapa lokasi dan berpuas hati dengan tahap penyelenggaraan kemudahan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan penduduk supaya tidak meletakkan kenderaan berhampiran pili bomba kerana tindakan itu boleh menyukarkan operasi pasukan bomba sekiranya berlaku kecemasan.
“Kita juga meneliti beberapa isu lain termasuk masalah parkir kenderaan yang menyebabkan kesesakan serta ketidakselesaan kepada penduduk.
“Semua isu yang dibangkitkan termasuk masalah sampah, perparitan dan infrastruktur telah diajukan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut dan penyelesaian secara menyeluruh,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh; Pegawai Khas Kanan Parlimen Putatan, Ummar Ariff Abu Bakar; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Ahmad Helmy Mohd Taib.

