Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Sesi libat urus STB kupas cabaran bekalan bahan api sektor pelancongan

PERBINCANGAN: Joniston mempengerusikan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri pelancongan.

KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri pelancongan bagi membincangkan cabaran operasi susulan kekangan bekalan bahan api serta isu akses kepada subsidi yang menjejaskan sektor itu di negeri ini.

Sesi berkenaan merupakan yang pertama dipengerusikan Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai, yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, susulan penubuhan Unit Tindak Balas Krisis STB bagi memudah cara dialog dengan pihak berkepentingan industri.

Joniston berkata, objektif utama sesi tersebut adalah untuk mengumpul maklum balas, mengenal pasti isu serta mendapatkan cadangan daripada pemain industri pelancongan.

“Kita mengumpul semua isu dan cadangan yang dibangkitkan untuk pertimbangan lanjut bersama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, seterusnya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Ini merupakan langkah awal dan kita berharap dapat memudah cara sesi susulan bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, bagi membolehkan perbincangan lanjut berdasarkan maklum balas yang diperoleh daripada industri,” katanya.

Menurut beliau, pengusaha pelancongan yang mengendalikan resort pulau, perkhidmatan bot serta operasi eko-pelancongan di kawasan pedalaman antara yang paling terjejas akibat kekangan bekalan bahan api dan subsidi yang berterusan.

Pengusaha yang bergantung kepada diesel untuk penjana elektrik dan operasi pemindahan bot harian memaklumkan bahawa permohonan subsidi bahan api sering tidak berjaya walaupun telah dikemukakan berulang kali.

Mereka turut mencadangkan agar kuota subsidi semasa dikaji semula kerana had 200 liter sehari bagi penggunaan bot tidak mencerminkan keperluan operasi sebenar di sesetengah lokasi.

Di destinasi seperti Semporna, satu perjalanan pemindahan bot boleh mengambil masa antara 40 minit hingga satu jam, sekali gus meningkatkan penggunaan bahan api harian berbanding lokasi lain.

Pengusaha yang mengendalikan lodge dan pelayaran sungai di kawasan seperti Kinabatangan turut menyuarakan kebimbangan sama berhubung kekurangan bekalan diesel dan had kuota, dengan sebahagian pengusaha terpaksa mengurangkan aktiviti operasi.

Selain itu, beberapa pengusaha memaklumkan mereka kini menanggung kos bahan api yang lebih tinggi bagi memenuhi tempahan sedia ada yang dibuat sebelum kenaikan harga, sekali gus mengehadkan keupayaan untuk melaraskan harga pakej pelancongan.

Exit mobile version