KUALA LUMPUR: Senator Datuk Anna Bell Perian menegaskan keperluan pelaksanaan dasar kerajaan yang lebih telus, berakauntabiliti serta memberi impak langsung kepada rakyat ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Negara, pada Khamis.
Beliau berkata titah Yang di-Pertuan Agong berkaitan kemajuan negara, reformasi pentadbiran dan pengukuhan integriti perlu diterjemahkan melalui tindakan yang jelas oleh kementerian, termasuk penyediaan garis masa pelaksanaan projek serta perincian peruntukan.
Menurutnya, rakyat kini menuntut tahap ketelusan yang lebih tinggi dalam pelaksanaan dasar kerajaan.
“Setiap jawapan kementerian di Dewan Negara sewajarnya disertakan dengan data yang tepat, sasaran yang boleh diukur serta jadual pelaksanaan yang jelas,” katanya.
Dalam perbahasan itu, beliau turut menyentuh isu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya berkaitan semakan semula pemberian khas 40 peratus hasil bersih Sabah seperti diperuntukkan di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Anna Bell meminta kerajaan menjelaskan status terkini perkara tersebut, termasuk sama ada satu formula tetap berasaskan hasil sebenar akan ditetapkan bagi memastikan kepastian fiskal kepada Sabah.
Beliau turut membangkitkan keperluan memurnikan tafsiran undang-undang berkaitan hak Sabah terhadap pelantar benua dan sumber petroleum supaya selari dengan semangat autonomi negeri yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia.
Selain itu, beliau menuntut penjelasan terperinci mengenai kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, khususnya peratusan kemajuan bagi setiap pakej di bawah Fasa 1B serta tarikh jangka siap terkini.
Menurutnya, projek berkenaan amat penting kerana bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi negeri, malah meningkatkan keselamatan jalan raya serta akses kepada perkhidmatan asas di kawasan pedalaman Sabah.
Isu bekalan air dan elektrik yang sering menjejaskan kehidupan rakyat di negeri itu turut diberi perhatian dalam perbahasan tersebut.
Beliau meminta kerajaan memberikan garis masa jelas bagi projek berkaitan termasuk Projek Southern Link serta program penggantian paip usang di Kota Kinabalu dan Tawau.
Dalam aspek pembasmian kemiskinan, Anna Bell turut membangkitkan keadaan beberapa daerah di Sabah seperti Tongod, Nabawan dan Pitas yang masih tersenarai antara kawasan termiskin di Malaysia.
Beliau meminta penjelasan mengenai bagaimana peruntukan pembangunan sebanyak RM6.9 bilion dalam Belanjawan 2026 akan diagihkan secara bersasar bagi merangsang ekonomi luar bandar serta meningkatkan pendapatan isi rumah.
Perbahasan tersebut turut menyentuh agenda pendigitalan negara termasuk keberkesanan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) yang bertujuan memperluas capaian internet di Sabah dan Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman.
Dalam aspek keselamatan, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh operasi keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) melalui penggunaan teknologi seperti dron jarak jauh dan kecerdasan buatan bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan.
Anna Bell juga menegaskan keperluan mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan yang kerap terjejas di Sabah.
Selain itu, beliau turut memberi perhatian kepada pembangunan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk keperluan menyediakan kemudahan kekal bagi pusat latihan seperti GIATMARA yang telah lama beroperasi tetapi masih tidak mempunyai bangunan sendiri.
Menurutnya, kemajuan negara tidak boleh diukur semata-mata melalui pertumbuhan ekonomi, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan sejauh mana manfaat pembangunan sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi, khususnya di Sabah. Beliau menegaskan bahawa keadilan wilayah perlu menjadi keutamaan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) supaya jurang pembangunan antara Sabah dan wilayah lain dapat dirapatkan secara berkesan.
–TAMAT

