Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Sekretariat SMJ perlu perkukuh tadbir urus, penyelarasan agensi :Masidi

Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun menerima cenderahati SMJ oleh Rosmadi dalam sesi kunjungan hormat Hala Tuju SMJ 2.0

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, menegaskan kepentingan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk terus memperkukuh tadbir urus, meningkatkan penyelarasan antara agensi pelaksana serta memastikan setiap inisiatif pembangunan dilaksanakan secara berkesan dan berimpak tinggi kepada rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Sekretariat SMJ di pejabatnya, di sini, hari ini.

Kunjungan itu diketuai oleh Ketua Pegawai Penyelaras SMJ, YB Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai JP, bersama Ketua Pegawai Operasi, Datuk Ramlee Kariah, bertujuan membincangkan penyelarasan pelaksanaan inisiatif di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 (2026–2030), khususnya aspek perancangan strategik dan hala tuju pembangunan negeri.

Dalam pertemuan berkenaan, Masidi turut diberi taklimat mengenai perkembangan persiapan pelancaran SMJ 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada 30 Januari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Perbincangan turut menyentuh usaha mempertingkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat di peringkat akar umbi.

Masidi menasihatkan Sekretariat SMJ supaya terus mengamalkan prinsip tadbir urus yang baik, memperkukuh koordinasi antara kementerian dan agensi berkaitan, serta memastikan setiap program yang dirangka benar-benar berpaksikan keperluan rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa semua inisiatif di bawah SMJ 2.0 perlu disertai dengan mekanisme pemantauan yang rapi serta penilaian berterusan bagi memastikan pelaksanaan mengikut perancangan dan mencapai sasaran ditetapkan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dan berintegriti sejajar aspirasi Sabah Maju Jaya, dengan memberi penekanan terhadap tadbir urus yang telus, kecekapan pengurusan serta pulangan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun bersama Pengerusi SESB Saadiah (empat kiri), Yakoob (tiga, kanan) serta Pegawai Kementerian Kewangan dan Kakitangan SESB.

Pada hari yang sama, Masidi turut menerima kunjungan hormat daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang diketuai oleh Pengerusi SESB, Puan Saadiah Aziz, bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar.

Kunjungan berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan SESB serta membincangkan perkara berkaitan bekalan elektrik di Sabah, termasuk usaha berterusan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan kebolehpercayaan sistem penyampaian tenaga.

Dalam pertemuan itu, Masidi turut diberi taklimat mengenai perkembangan semasa operasi SESB serta pelbagai inisiatif penambahbaikan yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil, berterusan dan mampan kepada rakyat Sabah.

–TAMAT

Exit mobile version