Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Sedcovest tinjau potensi Semanis Hillside Cottage

TAKLIMAT: Redonah mendengar taklimat semasa lawatan rasmi pengurusan Sedcovest di Semanis Hillside Cottage, Kimanis.

KIMANIS: Sedcovest memulakan Siri Lawatan Rasmi Pengurusan dan Semakan Projek Strategik 2026 menerusi lawatan tapak serta sesi semakan projek di R&R Kimanis yang kini beroperasi sebagai Semanis Hillside Cottage, pada Ahad.

Terletak di Batu 18, Lebuhraya Kimanis-Keningau, lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai antara aset strategik yang mempunyai potensi besar dalam sektor hospitaliti dan pelancongan di Sabah.

Lawatan rasmi selama tiga hari itu diketuai Pengerusi Sedcovest, Datuk Redonah Bahanda dan turut disertai Pengurus Besar Sedcovest, Yahyah Sidek; Timbalan Pengurus Besar Kumpulan Sedco (Perancangan dan Pembangunan), Suhaimi Untong serta barisan pengurusan kanan syarikat.

STRATEGIK: Semanis Hillside Cottage di Batu 18, Lebuhraya Kimanis-Keningau dikenal pasti mempunyai potensi besar dalam sektor hospitaliti dan pelancongan.

Sesi lawatan dan perbincangan memberi tumpuan kepada keadaan semasa operasi, kemudahan sedia ada serta cadangan penambahbaikan dan hala tuju pembangunan bagi memperkukuh potensi Semanis Hillside Cottage sebagai destinasi persinggahan strategik di laluan Kimanis-Keningau.

Redonah berkata, lawatan tersebut menjadi platform penting bagi pihak pengurusan menilai keperluan pembangunan dan perancangan masa depan sejajar aspirasi syarikat untuk memperkasa aset strategik serta menjana manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat.

Menurut beliau, usaha memperkukuh sektor hospitaliti dan pelancongan mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi selain meningkatkan nilai komersial aset milik syarikat.

“Penilaian secara menyeluruh terhadap status operasi dan potensi pembangunan amat penting bagi memastikan setiap aset dapat dimanfaatkan secara optimum serta memberi impak positif kepada ekonomi setempat,” katanya.

Program lawatan itu akan diteruskan ke beberapa lokasi dan projek lain sepanjang tempoh tiga hari bagi membolehkan pihak pengurusan mendapatkan gambaran menyeluruh berkaitan status operasi, cabaran semasa serta potensi pembangunan yang dirancang.

Exit mobile version