KOTA KINABALU:Dua pertubuhan yang mewakili pemerkasaan wanita dan pemeliharaan warisan budaya etnik Tobilung menjalin kerjasama strategik dengan Sedcovest Holdings Sdn Bhd bagi memperkasa wanita melalui keusahawanan, pembangunan kemahiran dan pemeliharaan warisan budaya.
Kerjasama itu dibincangkan menerusi kunjungan hormat Persatuan Wanita Tobilung Kota Marudu (Konduan Tobilung) dan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Langkon ke atas Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd, Datuk Redonah Bahanda, semalam.
Delegasi Persatuan Wanita Tobilung Kota Marudu diketuai Pengerusinya, Rusiah Salintap, bersama Setiausaha, Christina Saidi, manakala rombongan SAANS Langkon diketuai Pengetuanya, Timis Sambadi.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pelbagai inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi memperluaskan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan, khususnya di kawasan luar bandar.
Redonah berkata, Sedcovest komited melahirkan lebih ramai usahawan wanita menerusi pelbagai kursus, latihan kemahiran, bimbingan perniagaan dan program pembangunan kapasiti yang dilaksanakan syarikat.
“Wanita mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi keluarga dan negeri. Justeru, mereka perlu diberi peluang, pendedahan serta latihan yang berterusan agar mampu mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.
Beliau turut menyambut baik cadangan kerjasama bersama Persatuan Wanita Tobilung Kota Marudu dan SAANS Langkon bagi menganjurkan program latihan keusahawanan, pembangunan produk tempatan serta inisiatif memelihara warisan budaya etnik Tobilung.
Menurutnya, gabungan elemen keusahawanan dan warisan budaya bukan sahaja mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat, malah membantu memastikan khazanah budaya masyarakat terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Sementara itu, kedua-dua rombongan merakamkan penghargaan kepada Redonah atas kesediaan menerima kunjungan hormat berkenaan dan menyatakan harapan agar kerjasama yang dibincangkan dapat direalisasikan menerusi pelbagai program yang memberi manfaat kepada wanita dan komuniti di Sabah.

