KOTA KINABALU: Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCAC) sedang merangka pelan mitigasi dan adaptasi secara komprehensif bagi menangani impak perubahan iklim yang semakin mendesak, memandangkan Sabah antara negeri paling terdedah kepada risiko berkenaan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, pelan tersebut dibangunkan melalui penyelarasan bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam berdasarkan kajian penilaian kerentanan dan adaptasi perubahan iklim di Sabah.
Menurutnya, kerajaan negeri ketika ini giat memperkukuh kapasiti pelbagai agensi berkaitan dalam pengumpulan data Inventori Gas Rumah Kaca (GHG) bagi memastikan pelaporan sejajar dengan garis masa negara kepada United Nations Framework Convention on Climate Change.
“Usaha ini penting untuk memastikan data yang dibangunkan lebih tepat serta mencerminkan konteks lokaliti Sabah,” katanya ketika menjawab soalan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau menjelaskan, SCAC turut meneliti projek mitigasi serta cadangan pembangunan projek karbon di negeri ini sebagai sebahagian daripada langkah memperkukuh tadbir urus perubahan iklim.
Dalam masa sama, kerajaan negeri akan menubuhkan Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim Sabah (SaCRIC) susulan pewartaan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025.
“Pusat ini akan menyelia penguatkuasaan enakmen berkenaan, selain mengawal selia semua aktiviti karbon di Sabah.
“SCAC juga sedang merangka serta menggubal peraturan berkaitan sebagai persediaan ke arah pengoperasian pusat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (PBRS-Sook) mengenai status pelaksanaan SCAC sejak penubuhannya pada 2024, termasuk struktur, peranan serta pelan tindakan yang dirangka.
Dalam pada itu, Ceasar berkata kerjasama erat antara kerajaan negeri dan NRES akan terus diperkukuh bagi memastikan Sabah memainkan peranan signifikan dalam agenda kelestarian negara serta komitmen iklim Malaysia di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, SCAC juga akan berfungsi sebagai badan induk dalam merangka Dasar Perubahan Iklim Negeri yang mengambil kira keunikan ekologi serta landskap sosioekonomi Sabah.
“Ia melibatkan pendekatan bersesuaian bagi mendepani ketidakpastian impak perubahan iklim, di samping memastikan dasar negeri selaras dengan agenda nasional,” katanya.
Tambahnya, penyelarasan turut melibatkan kerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk National Designated Authority (NDA), khususnya dalam aspek pelaporan, akses pembiayaan iklim serta pematuhan kepada komitmen Malaysia di bawah UNFCCC dan Perjanjian Paris.

