Site icon Gabungan Rakyat Sabah

SAY gesa peniaga rebut peluang sokongan ekonomi kerajaan

ADUN Tanjung Keramat Shah Alfie Yahya menyempurnakan Program Bubur Lambuk Ukhwah Ramadan di Masjid Al-Mahabah, Putatan.

PUTATAN: Golongan peniaga di Putatan, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, digesa agar terus peka dan memanfaatkan pelbagai bentuk bantuan serta sokongan ekonomi yang disediakan kerajaan dalam usaha memperkukuh rantaian ekonomi setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya (SAY) berkata, sama ada penjaja kecil, peniaga mikro mahupun usahawan sederhana, mereka perlu mengetahui dan memahami saluran bantuan yang ditawarkan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Hajiji Noor.

Menurutnya, pelbagai inisiatif diperkenalkan menerusi pelaksanaan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan pemerkasaan usahawan tempatan.

“Banyak pelan dan inisiatif telah diperkenalkan kerajaan termasuk di bawah SMJ 2.0 yang bakal membantu golongan peniaga seperti program SME-UP, pembangunan modal insan dan pelbagai skim pembiayaan lain.

“Di peringkat DUN Tanjung Keramat pula, usaha memperkasa peniaga dan usahawan tempatan merupakan antara agenda utama di bawah meja ekonomi DUN, di mana kami akan bertindak sebagai pemudah cara antara masyarakat dan agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya.

Shah Alfie merakamkan kenangan bersama Pengurus Cawangan Kanan Angkatan Ikrar Malaysia (AIM) Cawangan Kota Kinabalu, Adzam Supri; Pengerusi KUSIKK, Wan Raizah Matsah; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar; serta Pegawai Kemajuan Masyarakat Tanjung Keramat, Syed Arizal Karim.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Bubur Lambuk Ukhwah Ramadan anjuran Kelab Usahawan Sahabat Ikhtiar Kota Kinabalu (KUSIKK) dengan kerjasama Sahabat Blok Petagas di Masjid Al-Mahabah, Kampung Muhibbah, pada Sabtu.

Turut hadir Pengurus Cawangan Kanan Angkatan Ikrar Malaysia (AIM) Cawangan Kota Kinabalu, Adzam Supri; Pengerusi KUSIKK, Wan Raizah Matsah; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar; serta Pegawai Kemajuan Masyarakat Tanjung Keramat, Syed Arizal Karim.

Mengulas lanjut, Shah Alfie berkata penganjuran program seumpama itu bukan sahaja mengimarahkan bulan Ramadan, malah menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim antara penduduk, usahawan dan pihak penganjur.

“Aktiviti seperti ini amat baik kerana selain menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR), ia turut membuka ruang kepada pembabitan aktif masyarakat dan memperkenalkan program keusahawanan yang diusahakan AIM serta KUSIKK.

“Kita berharap program seperti ini dapat diteruskan bukan sahaja pada Ramadan, malah sepanjang tahun,” katanya.

–TAMAT

Exit mobile version