KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan dakwaan yang disiarkan oleh MAWAR Channel berhubung Projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) di Sipitang adalah mengelirukan serta tidak tepat.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, dakwaan kononnya ammonia dan urea dari Sabah dihantar ke Semenanjung untuk diproses menjadi baja menunjukkan salah faham terhadap operasi sebenar loji berkenaan.
Menurutnya, loji SAMUR di Sipitang merupakan antara fasiliti pengeluaran baja urea terbesar di Asia Tenggara yang menghasilkan produk siap sepenuhnya di Sabah sebelum dipasarkan ke pasaran domestik dan antarabangsa.
“Dakwaan bahawa Sabah tidak mendapat manfaat daripada projek ini adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat.
“Projek SAMUR bukan sahaja meletakkan Sabah sebagai pemain penting dalam industri petrokimia serantau, malah turut memberi manfaat ekonomi secara langsung kepada negeri,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Nizam berkata, penyebaran bahan berunsur politik termasuk penggunaan imej Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, juga disifatkan tidak wajar kerana institusi Yang di-Pertua Negeri perlu dihormati dan tidak boleh dijadikan bahan propaganda politik.
Katanya, pihaknya akan merujuk perkara berkenaan kepada peguam bagi mendapatkan nasihat serta mempertimbangkan tindakan undang-undang selanjutnya.
“Kebebasan bersuara bukan lesen untuk memfitnah, memanipulasi fakta atau mencemarkan nama baik pemimpin serta institusi negeri,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa melalui SMJ Energy, Sabah kini memiliki pegangan ekuiti sebanyak 25 peratus dalam SAMUR sekali gus membolehkan negeri menerima manfaat langsung menerusi pulangan keuntungan dan dividen.
“Ini membuktikan Sabah turut menikmati pulangan ekonomi daripada projek strategik berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam menegaskan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal komited memperkukuh penyertaan negeri dalam industri minyak dan gas secara berperingkat bagi memastikan pulangan jangka panjang kepada rakyat Sabah.
Beliau turut menggesa rakyat supaya menilai sesuatu isu berdasarkan fakta dan pencapaian sebenar, bukannya sentimen atau naratif yang tidak tepat.
“MAWAR Channel digesa menarik balik kenyataan serta poster berkaitan dan memohon maaf atas penyebaran maklumat yang didakwa mengelirukan,” katanya.

