KOTA KINABALU:Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah berlangsung penuh istiadat dan tradisi di Padang Merdeka, di sini, pagi Isnin.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, hadir memeriahkan istiadat berkenaan dengan tiba pada jam 7.55 pagi.
Ketibaan beliau disusuli dengan penerimaan tabik hormat daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama sebaik mengambil tempat di pentas utama.
Istiadat mencapai kemuncaknya dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Musa Aman, bersama isteri, Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Tussin, pada jam 8 pagi.
Sebaik tiba, lagu kebangsaan Negaraku dan lagu negeri Sabah Tanah Airku dimainkan, diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 17 das sebagai tanda penghormatan.
TYT kemudian menerima tabik hormat diraja sebelum berkenan memeriksa Pasukan Kawalan Kehormatan Utama.
Baginda seterusnya berkenan memeriksa kontinjen perbarisan yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan etnik, institusi pengajian tinggi serta pelajar sekolah.
Istiadat turut diserikan dengan persembahan koir serta persembahan kebudayaan oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, yang mencerminkan keunikan warisan serta kepelbagaian budaya negeri ini.
Turut hadir ialah barisan dif kenamaan termasuk anggota Kabinet Negeri dan Persekutuan, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen serta ketua-ketua jabatan.
Sambutan tahunan ini bukan sahaja menzahirkan penghormatan kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah, malah menjadi simbol perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

