KOTA KINABALU: Sambutan Krismas Sabah 2025 bukan sekadar perayaan keagamaan, sebaliknya menjadi platform kukuh untuk memperteguh perpaduan, muhibah dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, penganjuran sambutan peringkat negeri itu mencerminkan kematangan sosial rakyat Sabah yang menjadikan kepelbagaian sebagai kekuatan bersama.
Menurut beliau, realiti kehidupan masyarakat Sabah membuktikan perbezaan agama, budaya dan latar belakang bukan pemisah, sebaliknya menjadi asas kepada kebersamaan dan keharmonian sebagai satu keluarga besar.
Beliau berkata, tema sambutan tahun ini, “Pengharapan Damai dalam Kasih” (Hope for Peace in Love), amat bertepatan dengan aspirasi masyarakat masa kini kerana mengangkat nilai kemanusiaan sejagat seperti kasih sayang, kedamaian, harapan dan tanggungjawab bersama.
Datuk Seri Panglima Dr.Joachim Gunsalam dan kenamaan lain bergambar bersama penerima sumbangan terdiri daripada kanak-kanak bandaraya pada Majlis Perasmian Sabah Christmas Celebration 2025 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada Selasa.
“Harapan adalah keyakinan bahawa melalui kasih sayang, kita mampu membina kehidupan yang lebih aman, makmur dan bermakna. Kedamaian pula lahir daripada sikap saling menghormati dan dizahirkan melalui perbuatan ihsan,” katanya.
Teks ucapan Ketua Menteri itu dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, pada Majlis Perasmian Sambutan Krismas Sabah 2025 di Padang Merdeka, di sini, pada Selasa.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, bersama Toh Puan Faridah Tusin.
Hajiji berkata, selari dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), sambutan Krismas ini turut berperanan sebagai wadah memperkukuh perpaduan sosial dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, pembangunan yang dihasratkan kerajaan negeri bukan hanya diukur melalui kemajuan fizikal dan pertumbuhan ekonomi, tetapi juga melalui keharmonian hubungan sesama insan, kekuatan institusi kekeluargaan serta keprihatinan sosial dalam masyarakat.
“Kerajaan negeri amat menghargai penganjuran pelbagai program dan aktiviti sepanjang sambutan ini yang menekankan aspek keluarga, komuniti dan sosial sebagai teras membentuk masyarakat seimbang dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata, keluarga adalah titik awal lahirnya kasih sayang dan nilai murni, manakala komuniti pula menjadi ruang subur kepada semangat muafakat dan kerjasama dalam kehidupan bermasyarakat.
Hajiji yakin sambutan seperti ini mampu menjadi jambatan penyatuan rakyat Sabah yang berbilang bangsa dan agama, sekali gus menampilkan wajah sebenar negeri ini yang kaya dengan kepelbagaian namun tetap bersatu.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada seluruh rakyat Sabah yang meraikannya. Semoga nilai keharmonian dan kasih sayang terus mekar demi kesejahteraan negeri yang kita cintai,” katanya.
— TAMAT

