Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Sabah terus bekerjasama dengan Persekutuan tangani kekurangan Doktor

PEMANTAUAN: Julita berkata Kerajaan Negeri sedang memantau rapat situasi penempatan pegawai perubatan di Sabah, dan akan menunggu keputusan penuh penempatan terbaharu sebelum membuat penilaian menyeluruh.

KOTA KINABALU:Kerajaan Negeri sedang memantau rapat situasi penempatan pegawai perubatan di Sabah susulan laporan terdapat pegawai yang tidak melapor diri bagi penempatan mereka di negeri ini.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki, berkata meskipun urusan pelantikan dan penempatan pegawai perubatan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri secara berterusan membangkitkan isu kekurangan doktor serta keperluan memperkukuh usaha pengambilan dan pengekalan tenaga perubatan di Sabah.

“Saya sebelum ini telah membangkitkan isu Bayaran Insentif Wilayah (BIW), selain beberapa cadangan lain, kepada Menteri Kesihatan dalam perbincangan kami serta mesyuarat jawatankuasa berkaitan.

“Perkara ini sedang disusuli menerusi perbincangan berterusan dan kita akan terus berhubung dengan Kerajaan Persekutuan bagi melihat bagaimana cadangan berkenaan dapat dilaksanakan,” katanya.

Julita turut menyokong gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah supaya kaedah pembayaran BIW berasaskan peratusan seperti sebelum ini dikembalikan.

Beliau juga menyokong usaha memperkukuh insentif kepada doktor yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak, selain menambah baik bantuan perpindahan bagi pegawai perubatan yang ditempatkan di kedua-dua negeri berkenaan.

Menurutnya, langkah sedemikian perlu diberi perhatian dalam usaha menarik serta mengekalkan lebih ramai tenaga perubatan untuk berkhidmat di Sabah.

Bagaimanapun, Julita berkata Kerajaan Negeri akan menunggu keputusan penuh penempatan pegawai perubatan terbaharu sebelum membuat penilaian menyeluruh mengenai situasi sebenar.

“Kita akan terus memantau situasi ini dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menangani keperluan tenaga kerja kesihatan di Sabah,” katanya.

Exit mobile version