KOTA KINABALU:Kerajaan Negeri Sabah menerima dana sebanyak RM22.75 juta daripada Kerajaan Persekutuan di bawah inisiatif Ecological Fiscal Transfer (EFT) bagi menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar di negeri ini.
Dana tersebut disampaikan oleh Datuk Arthur Joseph Kurup, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Menurut Hajiji, jumlah itu menjadikan keseluruhan dana EFT yang diterima Sabah sejak tahun 2019 kini mencecah RM126.36 juta.
“Ini jelas menunjukkan pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap dasar pemuliharaan alam sekitar Kerajaan Negeri yang kukuh,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri mengalu-alukan sokongan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh usaha pemuliharaan alam sekitar di Sabah.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut membincangkan pindaan kepada Environmental Quality Act 1974 serta penyelarasan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara dengan perundangan Sabah. Usaha itu bertujuan memastikan manfaat ekonomi karbon dapat dioptimumkan oleh Kerajaan Negeri.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nor Yahati Awang bersama pegawai-pegawai kanan kementerian.

