Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Sabah tempa sejarah terima penerbangan terus Shenzhen–Tawau

TIBA: Dr Andi MD Shamsureezal (enam kiri), menyambut ketibaan penerbangan sewa khas Loong Air dari Shenzhen ke Tawau di Lapangan Terbang Tawau.

TAWAU: Sabah terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan antarabangsa apabila buat julung kalinya menerima ketibaan penerbangan charter terus dari Shenzhen, China ke Tawau menerusi Loong Air, hari ini.

Penerbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada siri charter yang dijadualkan pada 6, 10, 14 dan 18 Disember ini bagi memenuhi permintaan tinggi pelancong dari wilayah selatan China sepanjang musim percutian hujung tahun.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Andi MD Shamsureezal Mohd Sainal, hadir di Lapangan Terbang Tawau untuk menyambut ketibaan kumpulan pertama pelancong dari China.

Beliau berkata pembukaan laluan terus ke Tawau itu mencerminkan keyakinan pasaran China terhadap Sabah, khususnya daerah Semporna yang terkenal sebagai destinasi pelancongan marin bertaraf dunia.

“Kami amat mengalu-alukan kedatangan pelawat dari China. Walaupun siri charter ini bersifat sementara, sambutan dan minat yang ditunjukkan amat memberangsangkan.

“Ini membuktikan potensi besar Sabah, khususnya Tawau dan Semporna, untuk dikembangkan sebagai destinasi antarabangsa utama,” katanya.

Menurut Lembaga Pelancongan Sabah (STB), China kekal sebagai pasaran antarabangsa terbesar Sabah dengan 534,975 pelawat direkodkan dari Januari hingga Oktober tahun ini, melepasi angka sebelum pandemik.

Sabah kini mempunyai laluan penerbangan ke tujuh bandar utama di China melalui Kota Kinabalu iaitu Hong Kong, Guangzhou, Shenzhen, Shanghai, Beijing, Hangzhou dan Fuzhou, sekali gus memperkukuh jaringan udara negeri ini dengan pasaran China.

Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffrey Jimit, berkata penerbangan terus ke Tawau itu memberi peluang terbaik untuk menilai secara lebih terperinci potensi pelancong dari wilayah selatan China.

“Siri charter ini menyumbang input penting dalam perancangan strategi pelancongan 2026. STB akan terus bekerjasama dengan ejen pelancongan serta syarikat penerbangan bagi memperluaskan lagi rangkaian penerbangan ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata Semporna terus menjadi destinasi pilihan pelancong China, bukan sahaja kerana keindahan alam semula jadi, tetapi juga fasiliti resort bertaraf antarabangsa serta pengalaman pelancongan premium yang ditawarkan.

Siri penerbangan itu dijangka membawa lebih 1,300 pelawat ke Tawau dan Semporna, dengan pelancong menginap di resort terkenal seperti Kapalai Water Villas, Mataking Reef Resort, Mabul Water Bungalows, White Sands Resort, Sipadan Kapalai Dive Resort dan Pom Pom Island Resort.

Sebahagian pelawat turut memilih untuk menginap di bandar Semporna bagi menikmati makanan laut segar selain menyertai aktiviti island hopping ke pulau-pulau popular termasuk Mabul, Kapalai, Mataking, Pom Pom dan Pandanan.

Pengurus Besar Shenzhen Kanghui Travel Service Co. Ltd., Wang Tao, berkata minat pelancong China terhadap Semporna terus meningkat berikutan kestabilan Malaysia serta kemudahan kemasukan tanpa visa.

“Sabah menawarkan keindahan alam semula jadi, keselamatan dan kemudahan pelancongan yang lengkap, menjadikannya destinasi pilihan rakyat China,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huan Ya Holidays, Liao Lina, berkata pihaknya telah lama membangunkan pasaran pelancongan Malaysia dan beroperasi di Tawau serta Semporna sejak lebih 16 tahun lalu.

“Kami komited memastikan pengalaman pelancongan terbaik melalui kerjasama rapat dengan resort dan pengusaha tempatan.

“Susulan kejayaan siri Shenzhen–Tawau ini, kami merancang memperkenalkan penerbangan charter Hong Kong–Tawau sepanjang tahun mulai 2026,” katanya.

Inisiatif itu sejajar dengan persiapan Sabah menghadapi Visit Malaysia 2026, sekali gus memperkukuh peranan negeri ini sebagai pintu masuk pelancongan antarabangsa di Malaysia Timur.

— TAMAT

Exit mobile version