KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di negeri ini susulan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya hakisan kuasa negeri serta hak imigresen khas Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, keputusan itu akan kekal sehingga kerajaan negeri memperoleh jaminan bahawa pelaksanaan AKPS tidak akan menjejaskan kepentingan Sabah, khususnya berkaitan kuasa autonomi dan hak istimewa imigresen negeri.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas Kabinet Negeri meneliti isu-isu semasa berkaitan pelaksanaan AKPS di Sabah termasuk aspek perundangan dan operasi penguatkuasaan imigresen.
“Kerajaan Sabah melalui mesyuarat Jemaah Menteri Negeri telah meneliti isu berkaitan pelaksanaan AKPS di Sabah dan mendapati terdapat unsur hakisan kuasa serta hak imigresen khas Sabah melalui aspek perundangan dan operasi penguatkuasaan imigresen oleh AKPS.
“Pelaksanaan AKPS bertujuan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Sabah di pintu masuk negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Hajiji, pihak berkuasa negeri juga tidak mempunyai kuasa secara langsung terhadap AKPS, sebaliknya hanya melalui Pengarah Imigresen Sabah seperti diperuntukkan di bawah Subseksyen 6(3) Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860].
Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengenal pasti beberapa ketidakselarasan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] yang berpotensi menjejaskan keberkesanan pelaksanaan tugas penguatkuasaan di pintu masuk Sabah.
“Kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak tidak boleh dirunding kerana pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara jelas mengiktiraf kuasa autonomi kedua-dua negeri dalam hal ehwal imigresen,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji berkata, penangguhan pelaksanaan AKPS perlu bagi memastikan perlindungan perlembagaan berkaitan kedudukan Sabah dalam hal imigresen terus terpelihara.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa parti politik di Sabah termasuk pembangkang serta Jabatan Imigresen Sabah turut menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan agensi berkenaan di negeri ini.

