Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Sabah perlukan kerajaan yang membina, bukan merosakkan: Pemerhati Politik

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor ketika menghadiri program bersama rakyat — simbol kepimpinan stabil yang diinginkan rakyat.

KOTA KINABALU: Pemerhati politik Sabah, Musram Haji Rakunman menegaskan bahawa rakyat negeri ini memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, membina dan berupaya meneruskan agenda pembangunan, bukannya kerajaan yang terperangkap dalam budaya pembalasan politik sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.

Beliau berkata, mesej yang disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor baru-baru ini adalah peringatan penting agar rakyat menilai rekod pentadbiran setiap parti berdasarkan prestasi sebenar, bukan retorik.

Menurutnya, sejarah pentadbiran negeri pada tahun 2018 wajar menjadi iktibar apabila keputusan tergesa-gesa ketika itu, termasuk penamatan konsesi air, telah mengakibatkan kerugian lebih RM315 juta dan menjejaskan bekalan air rakyat.

“Siapa yang terkesan? Rakyat. Inilah akibat apabila pentadbiran dipandu dendam politik. Kepentingan rakyat terkorban,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Musram berkata, terdapat bekas pemimpin yang kini lantang mengkritik kerajaan GRS, sedangkan semasa memegang jawatan sebelum ini, prestasi mereka dipersoalkan.

“Ketika berada dalam Kabinet, mesyuarat pun jarang dihadiri. Projek lambat, jalan berlubang tidak diperbaiki. Tetapi apabila tidak lagi berjawatan, muncul pula sebagai wira rakyat. Rakyat Sabah sudah matang dan tidak boleh terus diperdaya dengan sandiwara politik,” katanya.

Beliau berkata, pentadbiran GRS di bawah kepimpinan Hajiji telah memulihkan ketelusan dan kesinambungan pembangunan melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi.

“Ekonomi meningkat, pelaburan masuk, peluang pendidikan dan kebajikan rakyat diperluas. Banyak program baharu dilaksanakan — sesuatu yang tidak dilakukan kerajaan sebelumnya,” jelasnya.

Menurutnya, kestabilan politik di bawah GRS menjadi faktor utama yang membolehkan Sabah terus melangkah ke hadapan tanpa gangguan perubahan kerajaan yang kerap.

Musram turut menyifatkan Hajiji sebagai pemimpin yang mengutamakan pembangunan berbanding kepentingan politik peribadi.

“Sepanjang beliau memimpin, tidak ada tindakan balas dendam politik. Jika seseorang bekerja dengan baik, beliau benarkan mereka meneruskan tugas meskipun berasal dari pihak lawan. Ini nilai kepimpinan matang yang dihargai rakyat,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Sabah perlu membuat pilihan berdasarkan kepentingan negeri dan masa depan pembangunan.

“Jika kita mahu Sabah terus maju dan tidak mengulangi kesilapan lalu, pilihan paling selamat adalah kerajaan yang stabil seperti GRS. Kerajaan yang bekerja mesti dikekalkan, dan kerajaan yang berlandaskan dendam tidak boleh diberi ruang,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version