KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor menjemput pelabur dari China untuk meneroka pelbagai peluang pelaburan di negeri ini, khususnya dalam sektor Ekonomi Biru, tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur pintar, inovasi digital serta pelancongan mampan.
Beliau berkata, kerajaan negeri komited memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan domestik dan antarabangsa bagi memacu agenda pembangunan Sabah selaras dengan pelaksanaan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).
“Kita amat berbesar hati meraikan lebih lima dekad hubungan persahabatan serta hubungan diplomatik yang kukuh antara Malaysia dan China, termasuk kerjasama erat antara Sabah dan China.
“Hubungan dua hala ini terus berkembang pesat berteraskan asas saling menghormati, kepercayaan strategik serta kerjasama ekonomi yang semakin meluas,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Konsulat Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, di sini, semalam.
Menurut Hajiji, Sabah terus mendapat manfaat daripada hubungan erat dengan China yang kekal sebagai rakan penting dalam sektor perdagangan, pelancongan dan pembangunan infrastruktur negeri.
“Hubungan yang semakin kukuh ini turut disokong oleh peningkatan kesalinghubungan serta kerjasama perniagaan yang semakin aktif antara kedua-dua pihak,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pengukuhan kerjasama antara Malaysia dan China serta antara Sabah dan China bukan sahaja memberi manfaat ekonomi, malah mampu mempertingkatkan hubungan sosial dan membina asas kepercayaan yang berterusan.
“Kerjasama ini diharapkan dapat membawa kemajuan bersama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara serta rakyatnya,” katanya.
Hajiji turut berharap Tahun Kuda Api yang melambangkan kekuatan, keyakinan, tenaga dan keazaman akan terus memperkukuh hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.
–TAMAT

