KOTA KINABALU: Pelancongan berasaskan komuniti (Community-Based Tourism – CoBT) di Sabah bakal menjadi antara tarikan utama Sail Malaysia Passage to the East Yacht Rally 2026, sekali gus mencerminkan peningkatan minat pelayar antarabangsa terhadap pengalaman pelancongan yang autentik dan berteraskan komuniti tempatan.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Urusan Sail Malaysia, Sazli Kamal Basha, ketika mengadakan sesi taklimat kepada Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai, di sini, pada Selasa.
Sazli berkata, penekanan terhadap CoBT dibuat susulan maklum balas positif daripada peserta rali sebelum ini yang kini lebih cenderung kepada pengalaman pelancongan mendalam, interaksi langsung bersama komuniti setempat serta penerokaan budaya tempatan.
“Sabah terus menjadi pilihan pelayar antarabangsa kerana kekayaan budaya, keunikan landskap luar bandar serta peluang untuk berinteraksi secara dekat dengan komuniti tempatan,” katanya.
Menurut beliau, rali kapal layar antarabangsa itu dijadualkan singgah di Sabah pada Julai ini, melibatkan penyertaan pelayar dari pelbagai negara.
Setakat 20 Januari, katanya, seramai 15 peserta telah mendaftar, berbanding kira-kira 10 peserta pada tempoh sama tahun lalu, sekali gus menunjukkan potensi peningkatan penyertaan bagi edisi 2026.
Dalam perkembangan berkaitan, Sazli memaklumkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedang dipertimbangkan sebagai salah satu lokasi baharu pelabuhan singgah, selain cadangan mewujudkan agenda ‘safe harbours’ bagi meningkatkan akses, keselamatan dan kemudahan kepada kapal layar antarabangsa.
Mengulas perkara itu, Joniston menyambut baik penekanan terhadap pelancongan berasaskan komuniti yang selari dengan usaha kerajaan negeri memperkasa pelancongan luar bandar serta memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara langsung oleh masyarakat setempat.
Beliau berkata, pendekatan tersebut turut melengkapi promosi Explore Sabah bersempena kempen Visit Malaysia 2026.
“Pelancongan komuniti memberi nilai tambah kepada pengalaman pelawat di samping membantu meningkatkan pendapatan penduduk tempatan, khususnya di kawasan luar bandar dan pesisir,” katanya.
Joniston turut menggalakkan pihak Sail Malaysia bekerjasama rapat dengan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bagi mengenal pasti lokasi CoBT yang sesuai, selain menyokong cadangan memperkenalkan pelabuhan singgah baharu dan mengenal pasti pelabuhan selamat untuk pertimbangan pihak berkuasa berkaitan.
Dalam pertemuan itu, Sazli yang juga Ketua Pegawai Operasi Pameran Bot Antarabangsa Malaysia turut menjemput Sabah untuk menyertai edisi pameran berkenaan pada tahun 2026 sebagai platform promosi pelancongan marin dan destinasi pelayaran antarabangsa.
–TAMAT

