KOTA KINABALU:Sabah melakar satu lagi sejarah penting dalam pembangunan ekonomi mampan apabila Kerajaan Negeri memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Blue Financing bersama Maybank Group Global Banking, bagi memperkukuh pelaksanaan agenda Ekonomi Biru di negeri ini.
Majlis menandatangani MoU berkenaan disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di Menara Kinabalu pada Isnin. Ia menjadi simbol komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan Sabah peneraju utama dalam pembangunan ekonomi berasaskan sumber laut dan maritim di rantau ini.
Menurut Hajiji, MoU tersebut merupakan langkah penting dalam memperkenalkan Pembiayaan Mampan Berasaskan Ekonomi Biru (Blue Financing) yang membuka akses kepada kemudahan kewangan bagi projek dan syarikat yang memberi impak positif kepada ekonomi serta alam sekitar, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Melalui kerjasama ini, Maybank bukan sahaja menyediakan kemudahan kewangan, tetapi juga memberi khidmat nasihat, pemantauan dan jaringan industri bagi membantu pelaksanaan projek-projek ekonomi biru di Sabah,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pembiayaan biru akan menjadi pemangkin transformasi ekonomi maritim Sabah, dengan penekanan terhadap teknologi tinggi, pembangunan penyelidikan (R&D), penciptaan harta intelek, pewujudan peluang pekerjaan, serta pengukuhan daya saing negeri.
Sabah memiliki garis pantai sepanjang 2,383 kilometer dan kawasan perairan yang luas — menjadikannya negeri yang mempunyai potensi besar dalam pembangunan ekonomi berasaskan laut di Malaysia.
“Potensi ini belum dimanfaatkan sepenuhnya sebelum ini. Oleh itu, Dasar Ekonomi Biru Sabah diperkenalkan bagi mempelbagaikan struktur ekonomi negeri dan memastikan pembangunan yang mampan serta inklusif,” katanya.
Hajiji turut menekankan bahawa pelaksanaan dasar ini diperkukuh dengan penubuhan Majlis Ekonomi Biru Sabah (MEBS) pada 16 Jun lalu — sebagai platform penyelarasan dasar dan strategi pelaksanaan ekonomi biru di peringkat negeri.
Beliau turut menyebut beberapa inisiatif utama yang sedang dilaksanakan:
Memorandum Perjanjian (MoA) antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Alpha Ocean Resources Berhad (AORB) bagi membangunkan Pelabuhan Bertaraf EU khusus untuk pendaratan ikan tuna.
Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat, yang akan menjadi hab pelaburan teknologi marin, tenaga boleh diperbaharui dan pemprosesan makanan laut bernilai tambah tinggi.
Kejayaan penganjuran Sabah International Blue Economy Conference (SIBEC) 2024 yang menarik lebih 4,000 peserta antarabangsa, membuktikan Sabah kini diiktiraf di peringkat global sebagai pemain utama ekonomi biru.
Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Maybank atas komitmen mereka dalam merealisasikan inisiatif Blue Financing di Sabah.
“Saya menyeru kepada semua usahawan muda dan pemain industri agar turut bersama kerajaan negeri dalam menjayakan agenda ini. Jadikan Blue Financing sebagai pemangkin transformasi ekonomi biru Sabah demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.
— TAMAT

