Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Sabah menyasarkan 40 pingat emas pada SUKMA Selangor 2026

SEMANGAT JUANG: Hajiji bergambar bersama atlet, jurulatih dan pegawai kontinjen Sabah sambil menyampaikan amanat menjelang penyertaan negeri pada SUKMA Ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026, menegaskan disiplin merupakan asas kejayaan seseorang atlet.

KOTA KINABALU:Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yakin kontinjen Sabah mampu mencapai sasaran 40 pingat emas pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 di Selangor hasil persiapan rapi atlet, jurulatih dan pengurusan pasukan.

Beliau berkata, sasaran itu bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan keyakinan kerajaan negeri terhadap kekuatan sistem pembangunan sukan Sabah yang dilaksanakan secara berterusan serta komitmen semua pihak dalam mempersiapkan kontinjen menghadapi temasya berkenaan.

“Saya mahu setiap atlet percaya bahawa sasaran ini mampu dicapai. Kita mempunyai bakat, pengalaman dan semangat yang diperlukan. Yang penting, turunlah bertanding dengan keberanian, fokus dan tekad untuk memberikan yang terbaik demi Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Sabah sempena SUKMA Ke-22 Selangor 2026 dan Para SUKMA Selangor 2026, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, pencapaian Sabah pada SUKMA Sarawak 2024 yang meraih 29 pingat emas, 36 perak dan 55 gangsa menjadi asas kukuh untuk kontinjen negeri meningkatkan prestasi pada edisi kali ini.

Menurut beliau, kontinjen Sabah ke SUKMA kali ini terdiri daripada 943 anggota, membabitkan 744 atlet, 148 jurulatih dan 51 pengurus pasukan, yang akan menyertai 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.

Bagi Para SUKMA Selangor 2026, Sabah menyasarkan 66 pingat emas dengan tekad merampas semula gelaran juara keseluruhan, menghantar 271 anggota terdiri daripada 154 atlet, 80 jurulatih dan pegawai, serta 37 anggota urus setia.

“Saya berharap sekurang-kurangnya 80 peratus atlet Para SUKMA berjaya membawa pulang pingat,” katanya.

Hajiji turut mengingatkan semua atlet supaya sentiasa mengekalkan disiplin, semangat kesukanan dan menjaga nama baik negeri sepanjang temasya berlangsung.

Beliau menegaskan bahawa disiplin merupakan asas kejayaan seseorang atlet, selain mengingatkan mereka supaya tidak mengambil sebarang makanan tambahan atau suplemen tanpa nasihat jurulatih serta pegawai perubatan bagi mengelakkan pelanggaran peraturan antidoping.

Pada masa sama, beliau meminta semua pegawai kontinjen memberi keutamaan kepada aspek kebajikan dan keselamatan atlet, termasuk memastikan urusan perjalanan, penginapan, rawatan serta persediaan pertandingan diurus dengan sebaik-baiknya.

Sebagai tanda penghargaan kepada atlet, Hajiji berkata kerajaan negeri akan meneruskan kadar insentif kemenangan yang diperkenalkan pada SUKMA Sarawak 2024, termasuk RM10,000 bagi setiap pemenang pingat emas.

Beliau menyeru seluruh kontinjen Sabah supaya melangkah ke Selangor dengan semangat kebersamaan dan tekad memburu kejayaan, serta membuktikan Sabah mampu berdiri sebaris dengan negeri-negeri terbaik dalam arena sukan negara.

Exit mobile version