Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Sabah kekal negeri karbon negatif, perkukuh agenda ekonomi hijau

PENGIKTIRAFAN: Hajiji menerima sijil pengiktirafan Tapak Rizab Biosfera UNESCO daripada Arthur sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Dataran Sook.

SOOK: Sabah terus mengekalkan status sebagai negeri karbon negatif atau net carbon sink hasil keluasan kawasan hutannya yang mampu menyerap lebih banyak karbon berbanding pelepasan ke atmosfera.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, status itu disokong berdasarkan data inventori gas rumah hijau serta laporan terkini yang menunjukkan hutan di Sabah memainkan peranan penting dalam mengurangkan impak perubahan iklim global.

Katanya, kawasan berhutan yang luas di negeri ini menyumbang secara signifikan kepada kapasiti penyerapan karbon negara sekali gus membantu menstabilkan sistem iklim dunia.

“Status ini disokong oleh keluasan kawasan berhutan yang signifikan di Sabah yang menyumbang besar kepada kapasiti penyerapan karbon negara.

“Hutan di negeri ini menyerap lebih banyak karbon dioksida berbanding jumlah yang dilepaskan ke atmosfera, sekali gus menjadikan Sabah kekal sebagai negeri karbon negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Dataran Sook, pada Sabtu. Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Hajiji berkata, kawasan hutan paya dan bakau yang dikenal pasti sebagai penyumbang penting kepada aktiviti karbon turut mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dalam sektor ekonomi alam semula jadi selaras agenda Blue Economy dan Green Economy negeri.

Menurutnya, pendekatan pengurusan hutan secara inklusif yang melibatkan komuniti setempat mampu mewujudkan keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

“Antara projek dilaksanakan termasuk penanaman semula hutan terosot, pemulihan kawasan tadahan air serta pembangunan sumber pendapatan alternatif berasaskan hasil hutan bukan kayu seperti madu kelulut dan rotan,” katanya.

Beliau berkata, usaha kerajaan negeri turut diperkukuhkan menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta Tabung Ecological Fiscal Transfer (EFT).

Katanya, Jabatan Perhutanan Sabah menerima peruntukan RM70.8 juta di bawah Rolling Plan-One (RP-1) bagi melaksanakan projek perhutanan sepanjang tempoh RMK13.

“Sabah juga antara penerima dana EFT terbesar dengan jumlah RM126.36 juta sejak 2019 untuk melaksanakan pelbagai projek konservasi biodiversiti,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata tema Hari Hutan Antarabangsa tahun ini iaitu “Hutan dan Ekonomi” amat bertepatan dalam mengetengahkan peranan hutan bukan sahaja sebagai khazanah alam, malah pemacu ekonomi mampan.

Beliau turut mengalu-alukan pemilihan Sook sebagai tuan rumah sambutan berkenaan yang memberi peluang kepada masyarakat pedalaman turut sama meraikan Hari Hutan Antarabangsa di peringkat kebangsaan.

Exit mobile version