Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Sabah kekal komited lindungi alam sekitar dan perkukuh Ekonomi :Hajiji

ANUGERAH: Tun Musa Aman menyampaikan World Green and Sustainability Leadership Lifetime Achievement Award kepada Presiden Persatuan Kayu-Kayan Sabah, Datuk Norman Wong sambil disaksikan Hajiji.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memberi jaminan akan terus menjadi penjaga yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar tanpa mengabaikan kepentingan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, keseimbangan antara perlindungan alam sekitar dan pembangunan ekonomi perlu dilaksanakan secara adil, realistik dan mampan demi masa depan Sabah.

“Inilah keseimbangan yang dicari Sabah. Inilah masa depan yang sedang dibina oleh Sabah,” katanya ketika berucap pada sidang kemuncak Powering Green Growth: Sabah and Malaysia in the Age of Sustainability sempena World Green and Sustainability Summit (WGSS), di sini, pada Isnin.

Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Aman.

Hajiji berkata, Sabah menyokong sepenuhnya agenda tenaga boleh diperbaharui dan usaha memperkukuh perlindungan alam sekitar, namun pada masa sama negeri itu masih memerlukan pembangunan berterusan demi pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Menurutnya, Sabah kini sedang memperkukuh infrastruktur, memperluaskan kapasiti industri, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan keselamatan tenaga bagi memastikan kemajuan negeri terus mampan.

“Tenaga bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi juga isu ekonomi dan keselamatan jangka panjang Sabah. Sebab itu kita memerlukan campuran tenaga yang seimbang dan praktikal.

“Tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro, biojisim dan biogas perlu terus diperluaskan sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju tenaga Sabah,” katanya.

Beliau berkata, Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 turut memberi penekanan terhadap pembangunan tenaga yang boleh dipercayai, mudah diakses, mampu dimiliki dan mampan.

Dalam pada itu, Hajiji turut membangkitkan soal keadilan ekonomi terhadap Sabah yang selama ini memainkan peranan besar dalam usaha pemuliharaan alam sekitar negara.

Katanya, pemuliharaan alam sekitar bukan sahaja melibatkan tanggungjawab moral, malah memerlukan pengorbanan ekonomi yang besar kepada negeri.

“Apabila tanah dipelihara dan hutan dilindungi, ada hasil yang terpaksa dilepaskan.

“Ekosistem yang menyerap karbon dan menyokong biodiversiti bukan hanya memberi manfaat kepada Sabah, tetapi juga kepada Malaysia dan dunia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Sabah tidak seharusnya hanya dilihat sebagai penyumbang modal semula jadi semata-mata, sebaliknya perlu menerima manfaat ekonomi yang adil daripada sumbangan tersebut.

Menurutnya, perbincangan mengenai kemampanan juga perlu menyentuh aspek keadilan, pengiktirafan dan pelaburan yang saksama untuk Sabah.

“Sabah mampu membuktikan bahawa sebuah negeri membangun masih boleh melindungi alam sekitar sambil meningkatkan taraf hidup rakyat secara serentak,” katanya.

Exit mobile version