Sabah First perlu jadi teras cadangan penubuhan Konsulat India di Sabah

KOTA KINABALU: Cadangan penubuhan Konsulat India di Sabah perlu ditangani secara telus, inklusif dan berpaksikan prinsip Sabah First bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat benar-benar memelihara kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat Sabah.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata pengumuman cadangan itu yang dibuat dalam sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri India, Narendra Modi, baru-baru ini, wajar disusuli penjelasan rasmi yang jelas kepada rakyat Sabah.

Menurut beliau, meskipun cadangan berkenaan dilihat sebagai satu perkembangan positif dalam hubungan dua hala Malaysia–India, ia turut menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat Sabah berikutan ketiadaan penerangan terperinci daripada kerajaan negeri setakat ini.

“Prinsip Sabah First menuntut supaya setiap perkara yang melibatkan negeri ini, khususnya yang mempunyai implikasi strategik di peringkat antarabangsa, perlu mengambil kira pandangan, kepentingan serta persetujuan kerajaan negeri.

“Rakyat Sabah berhak mengetahui sama ada kerajaan negeri telah dirujuk secara rasmi sebelum pengumuman cadangan ini dibuat di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas potensi manfaat ekonomi, Yazid berkata penubuhan konsulat itu berupaya membuka peluang baharu dalam aspek perdagangan, pelaburan dan pelancongan, memandangkan India merupakan antara ekonomi utama dunia serta rakan dagang yang berpotensi kepada Sabah.

Menurutnya, sektor strategik seperti minyak sawit, pertanian, teknologi, pendidikan dan perubatan berpotensi mendapat manfaat sekiranya kerjasama dua hala diperkukuh secara tersusun dan berpaksikan kepentingan negeri.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang bentuk penglibatan antarabangsa mestilah memberikan pulangan langsung dan terukur kepada rakyat Sabah, bukan sekadar memenuhi kepentingan diplomatik di peringkat nasional.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tampil memberikan penjelasan terbuka berhubung skop fungsi konsulat yang dicadangkan, jangkaan impak ekonomi kepada Sabah serta jaminan bahawa kepentingan negeri akan sentiasa dilindungi.

“Ketelusan amat penting bagi mengelakkan salah faham, spekulasi dan persepsi negatif dalam kalangan rakyat. Penjelasan yang segera, jelas dan berfakta akan membantu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap hala tuju pembangunan serta kedudukan Sabah dalam kerjasama antarabangsa,” katanya.


Beliau menambah, semua pihak berkepentingan wajar tampil dengan kenyataan rasmi bagi memastikan setiap keputusan yang diambil selaras dengan aspirasi Sabah First, selain mengukuhkan peranan Sabah sebagai rakan strategik dalam landskap hubungan antarabangsa negara.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles