KOTA KINABALU: Sabah mengalu-alukan pelabur yang bukan sahaja membawa modal, malah memiliki kepakaran, pengalaman dan komitmen terhadap pembangunan mampan bagi mewujudkan kerjasama yang memberi manfaat jangka panjang kepada negeri dan rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Sabah terbuka kepada pelaburan berkualiti yang mampu menjana pulangan ekonomi di samping memberi impak sosial dan alam sekitar yang positif.
“Transformasi ekonomi Sabah amat membanggakan. Kita telah berkembang daripada sebuah ekonomi yang berteraskan sektor primer kepada sebuah ekonomi yang pelbagai dan dinamik.
“Sabah menantikan pelabur yang mampu menggabungkan kepakaran, pengalaman dan pembiayaan bagi memacu pembangunan yang inklusif dari segi sosial dan ekologi dengan hasil yang nyata,” katanya pada Sidang Kemuncak Pelaburan Impak Asia Pasifik bagi Pembangunan Mampan Sabah di Magellan Sutera, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Hajiji berkata, sidang kemuncak itu menjadi platform penting untuk membincangkan pelaburan impak yang menyalurkan modal kepada projek yang menjana manfaat sosial dan alam sekitar selain pulangan kewangan.
Beliau berkata, Sabah berada pada kedudukan terbaik untuk muncul sebagai antara hab utama pembangunan mampan dan pelaburan impak di rantau Asia Pasifik berikutan kekayaan sumber semula jadinya serta komitmen kerajaan terhadap pemuliharaan alam sekitar.
Menurutnya, hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah kini berada di bawah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Areas), selain negeri itu mengekalkan status sebagai penyerap karbon bersih (karbon negatif) hasil keluasan kawasan hutannya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pembangunan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air dan peluang ekonomi perlu terus dipertingkatkan tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar.
“Persoalan yang perlu kita jawab bukanlah sama ada memilih kelestarian atau pembangunan. Sebaliknya, bagaimana kita membina satu model baharu yang menjadikan kelestarian sebagai pemacu kepada pertumbuhan ekonomi sebenar,” katanya.
Beliau berkata, pertumbuhan pesat rantau Asia Pasifik menjadikannya destinasi utama pelaburan global, manakala forum seperti sidang kemuncak itu mampu memperkukuh kerjasama antarabangsa dan memperkenalkan penyelesaian inovatif bagi menyokong agenda pembangunan mampan.

