TUARAN: Sabah berjaya mencapai sifar Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar berdasarkan data eKasih yang dikunci pada Januari 2026, melibatkan seramai 10,825 KIR, hasil pelaksanaan pelbagai intervensi bantuan secara bersepadu oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, berdasarkan data eKasih sehingga 31 Mei 2026, jumlah KIR miskin tegar yang direkodkan pada awal tahun ini berjaya dikurangkan sebanyak 100 peratus.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan pendekatan berasaskan data, penyelarasan bantuan menerusi sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) dan eKasih, serta pelaksanaan intervensi bersasar mampu membawa perubahan signifikan kepada golongan sasar.
“Bagaimanapun, pencapaian ini bukanlah noktah kepada perjuangan kita. Kerajaan negeri menyedari masih terdapat rakyat yang memerlukan perhatian dan bantuan.
“Berdasarkan data eKasih sehingga 31 Mei 2026, seramai 57,710 KIR masih berada dalam kategori miskin berbanding 70,298 KIR pada Januari 2026, iaitu penurunan sebanyak 17.9 peratus dalam tempoh empat bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) Daerah Tuaran, di sini, hari ini.
𝗞𝗜𝗥 𝗱𝗮𝗻 𝗔𝗜𝗥 𝗠𝗶𝘀𝗸𝗶𝗻 𝗠𝗲𝗻𝘂𝗿𝘂𝗻 𝗞𝗲𝘁𝗮𝗿𝗮 𝗱𝗮𝗹𝗮𝗺 𝗘𝗺𝗽𝗮𝘁 𝗕𝘂𝗹𝗮𝗻
Hajiji berkata, jumlah keseluruhan individu yang berada dalam kategori miskin turut menunjukkan penurunan ketara.
Menurutnya, bilangan KIR dan Ahli Isi Rumah (AIR) dalam kategori miskin berkurangan daripada 743,939 orang pada Januari 2026 kepada 577,110 orang setakat Mei lalu.
Beliau berkata, berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), insiden kemiskinan mutlak Sabah menurun daripada 19.7 peratus pada 2022 kepada 17.7 peratus pada 2024.
“Bagi insiden kemiskinan tegar pula, kadarnya menurun daripada 1.2 peratus pada 2022 kepada 0.7 peratus pada 2024, iaitu pengurangan sebanyak 0.5 peratus.
“Walaupun Sabah masih merekodkan kadar kemiskinan mutlak dan miskin tegar tertinggi di Malaysia, trend penurunan ini menunjukkan pelbagai dasar serta program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan mula membuahkan hasil.
“Kejayaan mencapai sifar miskin tegar pada tahun ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Sabah ke arah mencapai sasaran pembangunan sosial yang lebih inklusif,” katanya.
𝗦𝗠𝗝 𝟮.𝟬 𝗛𝗮𝗹𝗮 𝗧𝘂𝗷𝘂 𝗝𝗲𝗹𝗮𝘀 𝗞𝘂𝗿𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗺𝗶𝘀𝗸𝗶𝗻𝗮𝗻 𝗠𝗲𝗻𝗷𝗲𝗹𝗮𝗻𝗴 𝟮𝟬𝟯𝟬
Menurut Hajiji, cabaran utama yang masih perlu ditangani ialah mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan negeri agar menghampiri kadar nasional.
Sehubungan itu, Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 menetapkan hala tuju yang jelas untuk mengurangkan insiden kemiskinan secara berperingkat menjelang 2030 melalui pelaksanaan program pembangunan yang lebih bersasar, berimpak tinggi dan mampan.
Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan kadar kemiskinan mutlak Sabah dapat dikurangkan kepada sekitar tiga hingga lima peratus, manakala kadar miskin tegar diturunkan sehingga menghampiri sifar pada tahun 2030.
“Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan akan terus melaksanakan Program Menoktahkan Kemiskinan dan Miskin Tegar Negeri Sabah melalui penyediaan rumah mampu milik, pembangunan modal insan, penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, pembangunan ekonomi luar bandar serta bantuan kewangan bersasar kepada golongan memerlukan,” katanya.
𝗟𝗶𝗺𝗮 𝗜𝗻𝘁𝗲𝗿𝘃𝗲𝗻𝘀𝗶 𝗨𝘁𝗮𝗺𝗮 𝗣𝗲𝗿𝗸𝘂𝗸𝘂𝗵 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝘀𝗺𝗶𝗮𝗻 𝗠𝗶𝘀𝗸𝗶𝗻 𝗧𝗲𝗴𝗮𝗿
Hajiji berkata, usaha pembasmian miskin tegar di Sabah turut diperkukuhkan menerusi lima intervensi utama, iaitu bantuan perumahan melalui Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya, peluang pekerjaan menerusi Program MySMJ Kerja, bantuan pendidikan termasuk 14 jenis bantuan pendidikan negeri, bantuan kebajikan kepada golongan tidak produktif serta bantuan keusahawanan dan peningkatan ekonomi.
“Kerajaan negeri meletakkan agenda pembasmian kemiskinan sebagai antara keutamaan dalam pembangunan Sabah.
“Ini adalah tekad kerajaan untuk memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan dan setiap rakyat berpeluang menikmati kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya.

