Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Sabah amal model pertumbuhan seimbang demi kemampanan dan kemajuan :Hajiji

DIIRINGI: Hajiji tiba pada Sidang Kemuncak Powering Green Growth: Sabah and Malaysia in the Age of Sustainability di Kota Kinabalu sambil diiringi tetamu kehormat.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengamalkan pendekatan model pertumbuhan seimbang dalam menangani isu pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar bagi memastikan kemajuan negeri dapat dilaksanakan secara mampan dan bertanggungjawab.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Sabah menolak pendekatan pembangunan melampau yang merosakkan alam sekitar, selain tidak bersetuju dengan idealisme alam sekitar yang boleh menghambat kemajuan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kita mesti menolak kedua-dua ekstrem ini. Kita tidak mahu pembangunan yang melulu, tetapi kita juga tidak mahu peralihan yang tidak realistik.

“Jalan ke hadapan bagi Sabah ialah model pertumbuhan seimbang iaitu pertumbuhan dengan disiplin, pemuliharaan dengan nilai, pelaburan dengan tanggungjawab, peralihan tenaga dengan kemampuan dan kemampanan dengan keadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Powering Green Growth: Sabah and Malaysia in the Age of Sustainability sempena World Green and Sustainability Summit (WGSS), di sini pada Isnin.

Hajiji berkata, walaupun Sabah sebuah negeri kecil dalam sebuah negara kecil, negeri ini memiliki kekuatan dan aset yang semakin bernilai dalam landskap ekonomi hijau global.

Katanya, Sabah dikurniakan kekayaan sumber semula jadi, biodiversiti luar biasa, sumber daratan dan maritim yang luas, selain mempunyai potensi tenaga, kedudukan strategik serta kestabilan politik yang menjadi kelebihan utama negeri itu.

“Kita juga memiliki generasi muda yang bersedia membantu membentuk ekonomi masa depan.

“Sabah telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam melindungi kawasan hutan simpan yang luas, memelihara biodiversiti penting di peringkat global serta mengekalkan antara kadar tertinggi kawasan perlindungan di rantau ini,” katanya.

Menurutnya, Sabah kini diiktiraf sebagai antara peneraju utama pemuliharaan alam sekitar bukan sahaja di Malaysia, malah di Asia Tenggara.

Hajiji berkata, fasa pertumbuhan hijau Sabah kini bergerak ke arah pembangunan industri yang bertanggungjawab berasaskan sumber semula jadi dan bukan sekadar tertumpu kepada usaha pemuliharaan semata-mata.

“Kita sedang beralih daripada hanya menjadi penyumbang hijau kepada peneraju ekonomi hijau.

“Ini termasuk membangunkan pasaran karbon yang berwibawa, menarik pelaburan hijau berkualiti serta memperluaskan industri tenaga boleh diperbaharui, pertanian mampan, ekonomi biru, ekopelancongan dan inovasi berasaskan biodiversiti,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memastikan syarikat tempatan, pekerja tempatan dan komuniti setempat menjadi sebahagian daripada rantaian nilai ekonomi hijau yang sedang dibangunkan.

Dalam pada itu, Hajiji berkata hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah kini berada di bawah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), sekali gus membuktikan komitmen serius kerajaan negeri terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Katanya, kemampanan tidak seharusnya sekadar menjadi agenda perbincangan di peringkat antarabangsa, tetapi perlu dilaksanakan secara praktikal dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Peralihan hijau yang terlalu mahal untuk keluarga biasa bukanlah sesuatu yang mampan.

“Dasar yang melindungi masa depan tetapi membebankan rakyat pada masa kini perlu dinilai dengan teliti.

“Bagi Sabah, kemampanan mesti bersifat praktikal, adil, mampu dilaksanakan dan paling penting memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Exit mobile version