Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Rundingan mekanisme bayaran 40 peratus dijangka selesai dalam tiga bulan

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama calon GRS Usukan, Datuk Japlin Akim dan calon GRS Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari serta para penyokong pada program Jelajah Rumah Kita, Kita Jaga GRS DUN Usukan dan DUN Tempasuk, di kediaman Datuk Japlin Akim di Kota Belud pada Selasa.

KOTA BELUD: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor optimis rundingan pengembalian 40 peratus hasil bersih Sabah, seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, dapat dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan seperti diarahkan Mahkamah Tinggi pada Oktober lalu.

Beliau berkata, proses rundingan telah pun bermula semalam melalui mesyuarat di peringkat pegawai, diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) bagi pihak kerajaan negeri dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan mewakili kerajaan Persekutuan.

“Perbincangan di Menara Kinabalu itu antara lain menyentuh mekanisme atau kaedah pembayaran tuntutan 40 peratus kepada Sabah. SKN memaklumkan kepada saya bahawa mesyuarat sudah berlangsung dan proses rundingan telah dimulakan,” katanya.

“Kita masih mempunyai tempoh yang diberikan mahkamah iaitu 90 hari. Selepas rundingan teknikal ini selesai, keputusan akan dibawa ke peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan,” jelas beliau.

Hajiji berkata demikian selepas menghadiri Program Jelajah Rumah Kita, Kita Jaga bagi DUN Tempasuk dan Usukan di kediaman Datuk Japlin Akim, pada Selasa.

Menurut Hajiji, penentuan mekanisme pembayaran tersebut bersifat teknikal dan tidak dapat dijelaskan secara terperinci pada peringkat ini.

“Ini perkara teknikal, jadi mereka perlu berbincang beberapa kali untuk mencapai persetujuan. Kita tunggu laporan penuh daripada jawatankuasa perunding,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa belum ada angka khusus mengenai jumlah hasil bersih yang dituntut oleh Sabah setakat ini.

“Kita belum diberi angka jelas berapa jumlah hasil yang dikutip daripada Sabah. Kita minta kerajaan Persekutuan memaklumkan angka sebenar, termasuk agihan 40 peratus itu dan tanggungjawab kewangan Persekutuan kepada Sabah,” katanya.

Hajiji turut berkongsi bahawa beliau sendiri meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya kerajaan Persekutuan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai hak 40 peratus hasil bersih Sabah.

“Perdana Menteri hubungi saya dan berkata ‘Insya-Allah, kita tidak buat rayuan 40 peratus’. Yang dirayu Jabatan Peguam Negara hanya berkaitan ayat dalam penghakiman yang dirasakan tidak adil kepada kerajaan terdahulu,” jelasnya.

Menurut Hajiji, keputusan untuk tidak merayu membuka ruang lebih besar bagi Sabah menyelesaikan tuntutan itu secara rundingan yang konstruktif.

“Rundingan sudah bermula. Jika berjaya diselesaikan, pendapatan negeri akan bertambah,” katanya.

‘Saya tidak heboh, tetapi saya paling banyak bersuara dalam Mesyuarat MA63’

Hajiji menambah bahawa beliau tidak gentar untuk berunding dengan kerajaan Persekutuan dan sentiasa lantang menyuarakan kepentingan Sabah dalam mesyuarat berkaitan MA63.

“Saya ada cara sendiri mentadbir. Saya tidak takut berunding dengan kerajaan Persekutuan. Dalam Mesyuarat MA63, saya sebenarnya yang paling banyak bercakap,” katanya sambil tersenyum.

“Perdana Menteri pernah berkata, Hajiji nampak saja sentimental, tetapi bila mesyuarat, banyak yang saya bangkitkan. Cuma saya tidak heboh sebab itu cara saya,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version