Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Rundingan 40 peratus diteruskan walaupun prosiding berjalan

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi berhubung semakan geran khas bagi Tempoh Terlepas (Lost Years), sementara menunggu rayuan didengar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata keputusan penangguhan itu adalah bersifat prosedural dan bertujuan mengekalkan status quo sehingga proses rayuan selesai.

Menurutnya, walaupun prosiding mahkamah masih berjalan, kerajaan negeri berharap rundingan antara kedua-dua pihak dapat diteruskan dengan niat baik bagi mencapai persetujuan berkaitan pembayaran hak Sabah sebanyak 40 peratus.

“Ia tidak mengetepikan Perintah Mahkamah Tinggi sedia ada. Walaupun perintah tersebut melibatkan semakan bagi Tempoh Terlepas (1974–2021), ia tidak seharusnya menghalang semakan bagi tahun-tahun semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hajiji menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan formula 40 peratus serta keperluan untuk mengadakan semakan, sekali gus memberi ruang kepada rundingan berterusan.

Dalam masa sama, beliau mengulangi pendirian kerajaan negeri yang sebelum ini membantah penangguhan Perintah Mahkamah Tinggi, namun menegaskan bahawa kerajaan tetap menghormati keputusan Mahkamah Rayuan.

“Ini adalah satu proses yang sedang berjalan dan kerajaan negeri akan terus berbincang serta mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

Hajiji turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober 2025 berkaitan hak perlembagaan Sabah ke atas 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga telah memberi jaminan untuk menghormati keputusan tersebut. Katanya, tarikh tentatif pendengaran rayuan ditetapkan antara 27 hingga 30 Oktober 2026, manakala sesi e-Review dijadualkan pada 13 April 2026 bagi mengesahkan tarikh sebenar pendengaran.

Exit mobile version