Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Rumah Mesra SMJ bukti GRS komited basmi kemiskinan dan sejahterakan rakyat

Pengarah Komunikasi Parti Cinta Sabah (PCS) Bahagian Bingkor, Clifford Spencer, menegaskan bahawa Program Rumah Mesra SMJ merupakan bukti nyata kecekapan dan komitmen kerajaan GRS di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.

KENINGAU:Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) menjadi bukti nyata bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan sekadar menabur janji, tetapi benar-benar bekerja untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, kata Pengarah Komunikasi Parti Cinta Sabah (PCS) Bahagian N.40 Bingkor, Clifford Spencer.

Menurutnya, pentadbiran GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berjaya menzahirkan dasar pembangunan yang berpaksikan tindakan dan hasil kerja, bukan retorik politik.

“GRS tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi hasil kerja dan pencapaian kerajaan hari ini menjadi manifesto terbaik kepada rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan Facebook baru-baru ini.

Clifford menjelaskan bahawa program Rumah Mesra SMJ yang dilancarkan pada 2022 merupakan satu inisiatif unik kerajaan negeri dalam membantu rakyat memiliki kediaman yang selesa dan bermaruah.

Pada fasa awal, setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima 20 unit rumah untuk diagihkan kepada penerima layak.

Menjelang 2025, jumlah itu ditingkatkan kepada 40 unit, dan tahun hadapan kepada 50 unit, termasuk 10 unit khas bagi pasangan muda baharu berkahwin.

“Sebelum GRS, kerajaan terdahulu hanya menyediakan sekitar enam hingga sepuluh buah rumah setiap DUN. Kini, jumlah itu meningkat empat hingga lima kali ganda — bukti kecekapan dan pengurusan fiskal yang mantap,” katanya.

Beliau berkata peningkatan besar ini menggambarkan kemampuan kerajaan GRS mengurus kewangan negeri dengan baik tanpa menambah hutang, malah memperkukuh rizab negeri dari tahun ke tahun.

Clifford menegaskan bahawa keupayaan kerajaan GRS mencapai pelbagai kejayaan bukan disebabkan janji politik, tetapi hasil kestabilan dan integriti kepimpinan yang diterajui Hajiji.

“Rakyat tidak lagi mahu ucapan berapi-api atau janji manis tanpa hasil. Mereka mahukan tindakan yang membawa perubahan sebenar,” ujarnya.

Katanya, pencapaian GRS dalam menambah peruntukan kebajikan, menyediakan bantuan kepada golongan miskin, serta memperkukuh ekonomi luar bandar membuktikan gabungan itu benar-benar menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.

Clifford turut menyeru rakyat Sabah agar terus memberi mandat kepada GRS dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 bagi memastikan kesinambungan pelan pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dapat diteruskan.

“Jangan kita termakan dengan retorik atau janji kosong. Yang penting bukan siapa paling pandai berjanji, tetapi siapa paling banyak menunaikan janji,” tegasnya.

— TAMAT

Exit mobile version