KIULU: Sebanyak 47 jalan pertanian di kawasan Kiulu dikenal pasti untuk pembinaan dan kerja-kerja naik taraf tahun ini, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh sektor pertanian luar bandar.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai, berkata sebanyak RM1.5 juta telah diperuntukkan daripada dana khas ADUN Kiulu bagi tujuan tersebut.
“Hari ini saya turun memantau kerja-kerja di Jalan Pertanian Balabakan–Singgaron, salah satu laluan daripada 47 jalan pertanian yang sedang ditambah baik.
Usaha ini sebahagian daripada komitmen kita untuk menyokong komuniti petani agar mereka dapat memanfaatkan tanah sepenuhnya serta meningkatkan hasil dan produktiviti pertanian,” katanya.
Joniston yang juga merupakan Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelaskan bahawa pembangunan infrastruktur asas seperti jalan pertanian amat penting bagi memudahkan pergerakan hasil tanaman serta menurunkan kos logistik petani tempatan.
“Jalan yang baik bermakna hasil pertanian dapat dihantar lebih cepat dan selamat ke pasaran. Ia secara langsung memberi impak kepada pendapatan dan kesejahteraan petani,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan sektor pertanian menjadi salah satu keutamaan utama dalam perancangan pembangunan Kiulu, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kita mahu menjadikan Kiulu sebagai antara hab pertanian luar bandar yang maju dan berdaya saing, di mana penduduk bukan sahaja menjadi pengeluar hasil tetapi juga berpotensi mengembangkan aktiviti agro-pelancongan,” katanya lagi.
Program pembangunan jalan pertanian ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh rangkaian infrastruktur luar bandar yang menyokong transformasi ekonomi berasaskan pertanian di Sabah.
— TAMAT

