BANDAU:Suasana kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 di kawasan Dewan Undangan Sabah (DUS) bagi kawasan Bandau terus menyerlahkan keupayaan dan peranan wanita dalam politik, apabila calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Redonah Bahanda, tampil membawa mesej kestabilan dan pembangunan sebagai teras perjuangannya.
Dalam satu temu bual ringkas, Redonah, yang juga Timbalan Ketua Wanita GRS, menyatakan harapan tinggi agar semua calon wanita yang bertanding di bawah gabungan itu memperoleh kemenangan.
“Saya mengharapkan calon-calon wanita, khasnya daripada GRS, insya-Allah semua akan menang. Yang paling penting ialah kita mempertahankan kerajaan GRS,” katanya ketika ditemui di Kampung Bintasan Laut, Kota Marudu, semalam.
Redonah menegaskan bahawa kesinambungan kerajaan GRS amat penting bagi memastikan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat diteruskan dan diperkukuh demi kesejahteraan rakyat.
“Pelan pembangunan Sabah Maju Jaya sudah bergerak. Jika kerajaan ini diteruskan, bukan sahaja ia dapat diteruskan, malah akan ditambah baik. Sudah semestinya rakyat Sabah akan menikmati hasilnya,” ujarnya.
Menurut beliau, banyak projek rakyat, termasuk pembangunan infrastruktur, bantuan ekonomi dan inisiatif komuniti luar bandar, sedang berjalan di bawah pelan berkenaan. Oleh itu, hanya kerajaan yang stabil mampu memastikan manfaatnya sampai kepada semua rakyat secara berterusan.
Sebagai calon yang dikenali dekat dengan masyarakat Bandau,Redonah menegaskan komitmennya untuk terus membawa suara rakyat ke peringkat negeri, dengan memastikan keperluan dan pembangunan daerah kekal menjadi keutamaan dalam agenda GRS.
“Dengan sokongan rakyat Bandau, kita bukan sahaja mempertahankan kerusi ini, tetapi memastikan masa depan Sabah terus berada di landasan yang kukuh,” katanya lagi.
Redonah turut melihat penyertaan aktif wanita dalam PRN kali ini sebagai tanda kematangan politik Sabah, serta bukti kepercayaan GRS terhadap kepimpinan wanita.
“Kita mahu lebih ramai wanita berada di barisan hadapan — bukan hanya menyokong dari belakang, tetapi turut membuat keputusan dan menyumbang kepada dasar pembangunan negeri,” jelasnya.
— TAMAT

