Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Redonah “Calon Winnable” GRS kata Exco Wanita Gagasan Rakyat

Datuk Redonah Bahanda (kanan) menyantuni penduduk luar bandar dalam salah satu siri Program Ziarah Sayang di Kota Marudu.

KOTA KINABALU: Exco Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Julia Datuk Ahmad Bahrom Titingan (Julia ABT) menyatakan keyakinan penuh bahawa Datuk Redonah Bahanda, Ketua Wanita Gagasan Rakyat merangkap Timbalan Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), merupakan calon wanita paling layak diketengahkan oleh GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.

Menurut Julia,  Redonah merupakan figura wanita yang berwibawa, berjiwa rakyat, serta memiliki rekod khidmat yang terbukti melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata.

“Sebagai Exco Wanita, tanpa ragu saya memilih Datuk Redonah Bahanda  satu nama yang sinonim dengan perjuangan rakyat dan pemerkasaan wanita di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau.

Beliau berkata, Redonah dikenali sebagai pemimpin mesra rakyat dan prihatin, serta disenangi oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Kepimpinannya yang lembut tetapi tegas menjadikan beliau contoh wanita berkarisma yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.

Julia turut menegaskan bahawa keprihatinan  Redonah terbukti melalui Program Ziarah Sayang, di mana beliau secara konsisten turun padang menyantuni keluarga yang memerlukan, mangsa musibah serta masyarakat luar bandar di sekitar Kota Marudu dan kawasan sekitarnya.

Datuk Redonah Bahanda menyantuni penduduk luar bandar dalam salah satu siri Program Ziarah Sayang di Kota Marudu.

“Program ini menjadi lambang kepimpinan berjiwa rakyat yang dekat dengan denyut nadi masyarakat,” tambahnya.

Menurut Julia, Redonah merupakan simbol kepimpinan wanita moden  yang berpendidikan, berdaya saing dan cekap mengurus tanggungjawab .

Beliau berpegang kepada prinsip bahawa wanita bukan hanya tulang belakang, tetapi juga layak berada di barisan hadapan dalam pembentukan dasar dan kepimpinan negeri.

Melalui peranan aktif dalam Gagasan Rakyat dan GRS, Datuk Redonah telah memperjuangkan dasar inklusif yang memberi fokus kepada pembangunan wanita, keluarga dan komuniti luar bandar.

Julia menegaskan bahawa Sabah masih kekurangan penyertaan wanita dalam arena politik.

“Sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam Dewan Undangan Negeri Sabah dan Dewan Rakyat masih belum tercapai. Justeru, kehadiran tokoh seperti Datuk Redonah amat penting untuk memastikan suara wanita didengar serta kepentingan mereka diwakili secara menyeluruh,” katanya.

Tambah beliau, penglibatan Redonah sebagai calon GRS akan membawa manfaat besar kepada rakyat Sabah melalui kepimpinan yang dekat, prihatin dan berteraskan kesejahteraan keluarga serta nilai kemanusiaan.

Julia menyeru agar lebih ramai wanita berdiri bersama dalam memperkukuh suara wanita Sabah.

“Apa yang kita perlukan bukan retorik atau janji manis, tetapi pemimpin yang bekerja dengan ikhlas, konsisten dan berani membawa perubahan. Datuk Redonah telah membuktikan kemampuannya melalui tindakan, bukan kata-kata,” ujarnya.

— TAMAT

Exit mobile version