KENINGAU: Usaha memperkasa identiti, budaya dan warisan Etnik Dusun Gana terus diperkukuh menerusi penganjuran Mesyuarat Agung Persatuan Gana Sabah (PGS) Kali Ke-2 yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Serbaguna Kampung Buang Sayang, di sini, baru-baru ini.
Mesyuarat berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert, yang menekankan kepentingan perpaduan, kerjasama berpasukan serta pengurusan persatuan yang tersusun dalam mengangkat martabat Etnik Dusun Gana sebagai salah satu etnik minoriti di Sabah.
Beliau berkata, usaha memperkukuh identiti budaya, bahasa serta warisan tradisi perlu digerakkan secara strategik agar terus relevan dan dihargai oleh generasi masa kini serta akan datang.
“Perpaduan dan komitmen bersama dalam kalangan ahli amat penting bagi memastikan kelangsungan adat dan budaya Dusun Gana terus terpelihara. Perancangan rapi serta pelaksanaan program berimpak tinggi mampu memperkasakan komuniti ini secara berterusan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Rafie turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong inisiatif dan perancangan PGS dalam usaha memperkasa komuniti Dusun Gana, khususnya melalui program kebudayaan, pendidikan dan pelancongan berasaskan komuniti.
Sebagai tanda sokongan terhadap kepimpinan dan hala tuju persatuan, beliau turut bersetuju untuk menyertai PGS sebagai Ahli Seumur Hidup, sekali gus memperkukuh jaringan sokongan terhadap pembangunan persatuan itu.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Sekolah Adat Negeri Sabah, Rozie Gitang; Pengerusi Persatuan Bundu Liwan Keningau, Harry Gitik; serta Timbalan Pengerusi Pertubuhan Murut Naabai Sabah, Fred V. Marukau.
Mesyuarat itu turut dihadiri barisan kepimpinan persatuan, ahli-ahli PGS serta komuniti setempat yang menyatakan sokongan padu terhadap perancangan dan hala tuju persatuan dalam memperkasakan masyarakat Dusun Gana di peringkat negeri.
Dalam pada itu, Rafie merakamkan penghargaan kepada Pengerusi dan Jawatankuasa PGS atas jemputan serta kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-2 berkenaan.
–TAMAT

