KOTA KINABALU: Qhazanah Sabah Berhad perlu terus memperkukuh perancangan strategik serta menambah baik pengurusan organisasi bagi memastikan pengurusan aset dan pelaburan negeri dilaksanakan secara lebih cekap, telus dan berimpak tinggi.
Timbalan Ketua Menteri, Masidi Manjun berkata, langkah itu penting dalam mendepani cabaran ekonomi semasa yang semakin kompleks dan dinamik.
Menurut beliau, usaha berterusan dalam memperkasa perancangan strategik juga akan memastikan setiap inisiatif yang dirangka mampu menjana pulangan mampan kepada negeri serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Qhazanah Sabah perlu lebih proaktif dalam meneroka peluang baharu, khususnya dalam sektor berpotensi tinggi seperti teknologi, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital, selaras dengan aspirasi pembangunan jangka panjang Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Qhazanah Sabah Berhad yang diketuai oleh pengerusinya, Anifah Aman, di sini, kelmarin.
Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah turut menekankan kepentingan tadbir urus yang baik, pemantauan berterusan serta pendekatan inovatif dalam pelaksanaan projek agar setiap pelaburan yang dibuat mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kementerian Kewangan Sabah akan terus menyokong usaha penambahbaikan dan pengukuhan strategi oleh Qhazanah Sabah, khususnya dalam memastikan setiap perancangan selari dengan dasar kewangan negeri serta memperkukuh kedudukan fiskal Sabah secara keseluruhan. Terdahulu, kunjungan berkenaan turut membincangkan pembentangan bertajuk “Arah Strategik dan Hala Tuju Qhazanah Sabah Berhad” yang memfokuskan kepada perancangan masa depan serta strategi memperkukuh peranan agensi itu dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

