BEAUFORT: Sebuah pusat khas Tingkatan Enam dicadangkan diwujudkan di daerah Beaufort bagi menghimpunkan pelajar prauniversiti daripada beberapa sekolah menengah dalam satu pusat pembelajaran yang lebih tersusun dan kondusif.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam, berkata cadangan berkenaan diyakini mampu meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, selain membolehkan guru memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keperluan akademik pelajar Tingkatan Enam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan itu berkata, sebagai langkah permulaan, kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan bangunan yang disewa sebelum membina sebuah kampus tetap pada masa hadapan.
“Kita mencadangkan supaya sebuah pusat khas Tingkatan Enam diwujudkan di Beaufort. Pada peringkat awal, kerajaan boleh menyewa sebuah bangunan yang bersesuaian sebelum membina kampus khas bagi tujuan tersebut.
“Langkah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dari SMK Gadong dan SMK Weston di kawasan DUN Lumadan, malah turut melibatkan pelajar dari SM St. John, SM St. Paul, SMK Beaufort I, SMK Beaufort II dan SMK Kota Klias. Ia sekali gus dapat berfungsi sebagai pusat Tingkatan Enam bagi seluruh daerah Beaufort,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Insentif Pendidikan Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Peringkat DUN Lumadan, Selasa.
Ruslan berkata, pendekatan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar melalui persekitaran pembelajaran yang lebih fokus, malah membantu guru merancang dan melaksanakan pengajaran secara lebih berkesan khusus bagi pelajar prauniversiti.
“Apabila pelajar Tingkatan Enam ditempatkan dalam satu pusat khas, guru juga dapat memberi perhatian yang lebih menyeluruh terhadap pembangunan akademik dan persediaan mereka ke peringkat pengajian tinggi,” katanya.
Terdahulu, seramai 46 pelajar cemerlang menerima Insentif Pendidikan Peringkat DUN Lumadan, terdiri daripada lima pelajar STPM dan 41 pelajar SPM, dengan setiap penerima menerima insentif antara RM500 hingga RM1,000.
Program penghargaan itu merupakan inisiatif tahunan yang diperkenalkan sejak 2022 sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik pelajar di kawasan DUN Lumadan.

