Site icon Gabungan Rakyat Sabah

PRU Sabah: Hajiji optimis sokongan kukuh untuk GRS–PH

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman bersama calon-calon GRS, Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Dr. Bonaventure Boniface (Tamparuli) bersama para penyokong GRS yang berkumpul di padang Pekan Tuaran pada hari penamaan calon PRU DU Sabah ke 17, pada Sabtu.

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH) akan memperoleh mandat kukuh untuk membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU17 Sabah) pada 29 November ini.

Pengerusi GRS itu berkata keyakinannya berasaskan sokongan rakyat yang semakin meningkat serta kekuatan jentera gabungan tersebut di seluruh negeri.

“Saya cukup yakin GRS–PH akan kembali membentuk kerajaan selepas PRU17 Sabah,” katanya ketika ditemui selepas memfailkan borang pencalonannya di Dewan Seri Sulaman, pada Sabtu di sini.

Hajiji, yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan penyandang kerusi DUN Sulaman, tiba di pusat penamaan calon sekitar jam 9 pagi bersama barisan kepimpinan GRS serta ribuan penyokong.

Turut hadir, penyandang DUN Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya; penyandang DUN Kiulu Datuk Joniston Bangkuai; serta calon baharu GRS bagi DUN Tamparuli, Dr. Bonaventure Boniface. Kesemua mereka turut mengemukakan borang pencalonan masing-masing.

Di Sulaman, Hajiji bakal berdepan pertandingan lima penjuru.

Jasnih pula berhadapan tujuh penjuru di Pantai Dalit, sementara Joniston berentap dalam pertandingan lapan penjuru di Kiulu.

Dr. Bonaventure pula berdepan 13 penjuru di Tamparuli — antara saingan paling sengit dalam PRU17 Sabah.

Mengulas situasi di Sulaman, Hajiji berkata beliau tetap optimis terhadap peluang GRS.

“Inilah demokrasi, sesiapa sahaja berhak bertanding. Tetapi saya yakin calon GRS akan menang dengan majoriti besar,” katanya.

Hajiji turut memberi amaran bahawa tindakan disiplin akan diambil terhadap mana-mana ahli Gagasan Rakyat atau GRS yang bertanding sebagai calon Bebas.

“Bagi parti lain yang bertanding, itu biasa. Namun bagi ahli Gagasan Rakyat dan GRS yang memilih menjadi calon Bebas, tindakan pemecatan akan diambil,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan GRS merangkap calon DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, GRS sentiasa melibatkan pengundi muda dalam perancangan dasar dan program parti.

“Kita perlu mendengar suara mereka kerana golongan muda adalah pemimpin masa depan,” katanya.

Katanya, pandangan golongan veteran dan semua lapisan masyarakat turut diambil kira dalam merangka hala tuju pembangunan negeri.

— TAMAT

Exit mobile version