Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Projek Urusetia Kiulu bukti komitmen kerajaan terhadap pembangunan luar bandar : Joniston

Datuk Joniston Bangkuai (tengah) meninjau tapak pembinaan Bangunan Urusetia Daerah Kecil Kiulu sambil menerima taklimat daripada kontraktor, disertai Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Leprus Esuva Giswa (dua kiri)dan Jurutera JKR Tuaran, Farini Awang (kiri).

KIULU:Pembinaan Bangunan Urusetia Daerah Kecil Kiulu yang kini dalam fasa awal penyediaan tapak dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2027, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata, projek berkenaan amat dinantikan penduduk setempat dan merupakan antara pembangunan penting yang akan memperkukuh urusan pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kerajaan di kawasan luar bandar itu.

“Bangunan ini bukan sekadar kemudahan pentadbiran baharu, tetapi simbol kemajuan dan mercu tanda usaha berterusan membangunkan Kiulu,” katanya selepas meninjau tapak projek dan menerima taklimat daripada pihak kontraktor di sini semalam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Leprus Esuva Giswa, serta Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Tuaran, Farini Awang.

Joniston berkata, apabila siap kelak, bangunan urusetia itu akan membolehkan pengurusan pentadbiran daerah kecil dilaksanakan dengan lebih tersusun, sekali gus mempercepat pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di kawasan tersebut.

“Bangunan ini akan menjadi pusat operasi utama kerajaan di peringkat daerah kecil dan memudahkan urusan rasmi serta perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan, Kiulu yang dinaik taraf sebagai Daerah Kecil pada tahun 2019 kini masih menggunakan ruang di belakang Dewan Masyarakat OKK Rampas sebagai pejabat sementara.

Menurut Joniston, pembinaan bangunan urusetia itu adalah sebahagian daripada perancangan menyeluruh pembangunan Kiulu, yang turut merangkumi peningkatan infrastruktur asas, kemudahan awam dan sokongan kepada ekonomi tempatan seperti pelancongan desa dan pertanian.

“Matlamat kita ialah menjadikan Kiulu sebagai kawasan luar bandar yang maju, tersusun dan berdaya saing tanpa mengabaikan nilai tradisi serta identiti komuniti tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengadakan pertemuan bersama pemimpin akar umbi bagi membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) serta menilai kemajuan projek-projek pembangunan di kawasan berkenaan.

“Kesinambungan amat penting. Segala rancangan dan projek yang membawa manfaat tidak boleh terhenti separuh jalan. Kita perlu pastikan apa yang sudah dirancang diteruskan untuk kebaikan rakyat Kiulu,” tegasnya.

— TAMAT

Exit mobile version